Setiap kali musim pembentangan bajet negeri tiba, skripnya hampir sama. PAS tampil paling lantang, paling yakin, namun malangnya paling keliru dari sudut asas ekonomi. Tahun ini, episod itu berulang, melibatkan dua watak berbeza tetapi dengan simptom yang sama iaitu kegagalan memahami konsep ekonomi asas, lalu dibungkus dengan retorik seolah-olah berautoriti.
Di Pahang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menimbulkan kekeliruan berkaitan konsep ‘surplus dan defisit’. Di Selangor pula, Pemuda PAS Selangor memperagakan ketidakfahaman terhadap ‘Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)’ dan istilah “kenaikan sederhana”. Kedua-duanya membina naratif politik yang bukan sahaja cetek, malah mengelirukan rakyat serta pengikut mereka sendiri.
Berlagak pandai tidak menjadikan seseorang itu benar-benar faham. Ia hanya menyerlahkan satu bentuk lakonan politik, gaya penceramah yang mahu kelihatan tahu segalanya walaupun isu yang dibahaskan jelas di luar bidang kefahaman sebenar.
Istilah “kenaikan KDNK sederhana” tidak pernah bermaksud ekonomi lemah atau tidak kukuh. Sebaliknya, ia sering berlaku apabila ekonomi sudah berada pada paras tinggi. Dalam keadaan ini, kadar pertumbuhan secara peratusan lazimnya lebih kecil berbanding tempoh pemulihan atau pertumbuhan awal. Di sinilah kegagalan Pemuda PAS Selangor apabila mereka gagal memahami konsep ‘baseline’ atau titik permulaan perbandingan.
Contohnya mudah. Jika KDNK bernilai RM1 bilion meningkat kepada RM1.3 bilion, kenaikannya ialah RM300 juta atau 30%. Sekilas pandang, angka 30% kelihatan “sederhana”. Namun dari sudut nilai sebenar, pertambahan RM300 juta itu jauh lebih signifikan berbanding situasi lain misalnya KDNK meningkat daripada RM100 juta kepada RM200 juta. Walaupun peningkatan kedua ini kelihatan besar dari sudut peratusan (100%), hakikatnya nilai tambahnya jauh lebih kecil kerana ‘baseline’ yang rendah.
Perbandingan tanpa mengambil kira baseline adalah perbandingan yang tidak adil dan tidak jujur secara intelektual. Ia mencipta ilusi prestasi hebat, sedangkan realitinya biasa-biasa atau bahkan lemah.
Analogi pendidikan lebih mudah difahami. Seorang pelajar cemerlang meningkat daripada gred A kepada A+ mungkin hanya bertambah 10 markah, tetapi itu mencerminkan kecemerlangan berterusan pada tahap tinggi. Sebaliknya, pelajar yang meningkat daripada 5 markah kepada 35 markah nampak melonjak besar, namun tetap gagal. Peratusan semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran mutlak tanpa memahami konteks asal.
Jika ekonomi negeri diurus menggunakan logik dan analogi cetek seperti yang dibawa Pemuda PAS Selangor, tidak mustahil ekonomi negeri-negeri akan terjerumus ke arah kegagalan struktur. Pertumbuhan akan dikejar secara kosmetik, bukan secara mampan.
Hakikatnya, rekod pemerintahan PAS sendiri tidak membantu naratif mereka. Kelantan, selepas hampir empat dekad di bawah PAS, tidak menunjukkan lonjakan ekonomi yang membanggakan. Kedah, Terengganu dan Perlis pula kerap berada di kelompok tercorot dalam pelbagai indikator pembangunan dan ekonomi.
Kritikan terhadap bajet dan ekonomi adalah wajar dalam demokrasi. Namun ia menuntut kefahaman asas, kejujuran intelektual dan tanggungjawab kepada fakta. Tanpa itu, PAS bukan sahaja gagal memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa, malah terperangkap dalam sindrom yang semakin jelas, tidak tahu, tetapi mahu kelihatan paling cerdik.
Di Melaka pun sama, baca di SINI, pembangkang wayang kononnya tahu tetapi tidak tahu.
