Realiti politik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan PAS dan Perikatan Nasional tidak menang satu pun kerusi pada Pilihan Raya Umum lalu.
Kekalahan tersebut bukan bersifat marginal tetapi menyeluruh. Namun yang menghairankan, nada dan retorik PAS seolah-olah mencerminkan kedudukan sebagai pemenang dominan bukan parti yang ditolak pengundi bandar.
Lebih membimbangkan, kekosongan mandat itu cuba ditutup dengan permainan sentiment khususnya isu perkauman yang sengaja ditiupkan bagi mengalih perhatian daripada hakikat sebenar penolakan rakyat Kuala Lumpur terhadap agenda dan pendekatan PAS.
Jika diteliti secara objektif, dakwaan kononnya orang Melayu diketepikan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta. Struktur tadbir urus utama di Kuala Lumpur jelas mencerminkan dominasi kepimpinan Melayu dalam jawatan strategik negara dan bandar raya.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan ialah orang Melayu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur juga daripada kalangan orang Melayu.
Jawatan Pengarah-Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diisi oleh orang Melayu.
Pengerusi Jawatankuasa Tanah Negara merangkap Ketua Setiausaha Negara ialah orang Melayu.
Menteri Wilayah Persekutuan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang diketuai oleh Perdana Menteri berbangsa Melayu.
Hakikat ini membuktikan bahawa naratif kononnya wujud penghakisan kuasa Melayu di Kuala Lumpur bukan sahaja tidak tepat, malah bersifat manipulatif. Ia dibina untuk mencetus keresahan, bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat bandar yang sebenar seperti kos sara hidup, perumahan, pengangkutan awam dan peluang ekonomi.
Dalam demokrasi matang, kekalahan seharusnya mendorong muhasabah dan pembaharuan idea, bukan menjerit paling kuat tanpa mandat. Kuala Lumpur menuntut politik yang berasaskan fakta, kecekapan dan penyelesaian, bukannya politik emosi yang bising seperti tin kosong.
