Dakwaan bahawa pembentukan Kabinet MADANI kononnya membuktikan “penguasaan strategik” oleh DAP sehingga menafikan kedaulatan politik negara bukan sahaja cetek, malah berasaskan salah faham terhadap fungsi kerajaan berparlimen dan realiti pentadbiran moden. Naratif ini lebih menjurus kepada politik ketakutan dan bukan analisis yang bertanggungjawab.
Dalam sistem Westminster yang diamalkan Malaysia, kuasa pentadbiran tidak berlegar pada satu atau dua kementerian “strategik” seperti yang didakwa. Dasar nasional digubal secara kolektif melalui Jemaah Menteri, diselaraskan oleh Perdana Menteri, dipantau Parlimen, serta tertakluk kepada undang-undang dan tatakelola perkhidmatan awam. Tiada kementerian yang boleh “menguasai negara” secara unilateral, apatah lagi melalui dakwaan penguasaan tanah, komunikasi atau dana tanpa semak imbang.
Setiap Kementerian sama ada Pendidikan, Kesihatan, Kewangan, Pengangkutan, Digital, Wilayah, Usahawan atau KPKT mempunyai mandat khusus, kerangka undang-undang dan kawalan audit. Pengurusan tanah bandar misalnya, tertakluk kepada undang-undang negeri dan pihak berkuasa tempatan. Komunikasi digital pula berada dalam ekosistem regulasi yang melibatkan pelbagai agensi. Dana SME dikawal prosedur kewangan dan audit negara. Menggambarkan semua ini sebagai “penguasaan licik” adalah pemahaman cetek dan berbahaya.
Kerajaan MADANI terbentuk melalui rundingan koalisi pasca pilihan raya dengan mandat Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Rundingan portfolio adalah amalan lazim dalam mana-mana kerajaan campuran di dunia dan bukan bukti ugutan atau pemerasan. Menuduh Perdana Menteri “terpaksa memenuhi permintaan” demi kelangsungan kerajaan tanpa bukti hanya menanam curiga dan melemahkan pemahaman PAS terhadap institusi.
Menyalahkan kadar keluar mengundi atau menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan “tak perlu jadi PM untuk menguasai negara” adalah retorik yang mengabaikan fakta. Negara ini ditadbir oleh Perlembagaan, undang-undang, Parlimen dan perkhidmatan awam professional, bukan oleh satu parti melalui helah portfolio.
Penilaian wajar terhadap kabinet ialah melalui hasil pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup, kebajikan rakyat, kecekapan perkhidmatan dan integriti tadbir urus. Jika ada kegagalan, kritiklah dengan data dan cadangan dasar bukan dengan insinuasi atau sangkaan jahat.
Naratif yang melabel Kabinet MADANI sebagai bukti “kelicikan” atau “penguasaan” satu parti adalah dangkal dan mengelirukan. Ia tidak membantu rakyat memahami dasar, malah merosakkan wacana demokrasi. Politik matang menuntut hujah berfakta, pemahaman institusi dan fokus kepada prestasi bukan kepada ketakutan dan teori konspirasi.

