Cina DAP Tak Boleh, Cina Gerakan Boleh

Melaka Digest
By -
0



Kenyataan seorang wakil rakyat Parlimen daripada PAS berhubung pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan jelas melampaui batas rasional politik yang sihat. Naratif yang cuba dibina seolah-olah pelantikan seorang menteri berbangsa Cina akan secara automatik menafikan hak dan kepentingan orang Melayu bukan sahaja dangkal, malah berbahaya dalam konteks perpaduan nasional.


Ungkapan seperti “kenapa meletakkan Hannah Yeoh, kenapa meletakkan Cina ini” bukan sekadar kritikan politik biasa. Ia membawa mesej berselindung yang cuba mengaitkan kaum dengan ketidakadilan, seolah-olah kelayakan, prestasi dan amanah pentadbiran ditentukan oleh bangsa dan bukan keupayaan. Ini adalah naratif terpesong yang berpotensi menghasut sentimen perkauman, sesuatu yang sepatutnya dielakkan oleh mana-mana pemimpin bertanggungjawab.


Lebih mengelirukan, istilah “rakyat bangkit” turut digunakan bagi menggambarkan bantahan tersebut. Hakikatnya, yang lantang bersuara hanyalah wakil rakyat pembangkang serta penyokong yang digerakkan oleh retorik politik mereka. Tidak wajar seluruh rakyat diseret untuk memikul sentimen sempit yang tidak mewakili pandangan majoriti.


Ironinya terserlah apabila isu kaum ini tidak pula dibangkitkan dalam konteks lain. Parti Gerakan, yang juga dipimpin oleh tokoh berbangsa Cina, dilantik sebagai ‘Ketua’ Perikatan Nasional di Pulau Pinang tanpa sebarang kerusi DUN atau Parlimen di negeri tersebut. Ketika itu, tiada pula kebimbangan besar tentang keadilan kepada orang Melayu atau persoalan legitimasi. Di sini timbul persoalan yang sukar dielakkan, mengapa “Cina DAP” dipermasalahkan tetapi “Cina Gerakan” diterima tanpa banyak soal?

Untuk rekod, PAS menang 11 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan parti Gerakan kosong!


Permainan “kad rasis” seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya. Ia merosakkan wacana politik, mencemarkan kepercayaan antara kaum dan menolak negara ke arah politik ketakutan, bukannya politik penyelesaian. Malaysia tidak akan maju dengan naratif yang memecah-belahkan tetapi dengan kepimpinan yang berani menilai dasar dan prestasi berdasarkan fakta bukan sentimen perkauman.

Politik yang menjadikan kaum sebagai modal serangan mungkin memberi keuntungan jangka pendek tetapi kesannya terhadap kestabilan dan masa depan negara jauh lebih merugikan. Ini hakikat yang wajar difahami sebelum api perkauman terus disimbah demi kepentingan sempit.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)