Melaka sekali lagi menjadi mangsa manipulasi naratif apabila satu hantaran di akaun Facebook Melaka Daily apabila dipetik bahawa individu menggunakan yang nama Reza A Hamid menyiarkan tajuk sensasi kononnya Kerajaan Negeri Melaka sedang meneliti cadangan melanjutkan operasi rumah urut, pusat hiburan dan premis berkonsepkan sukan sehingga jam 2 pagi.
Hakikatnya, dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan, malah boleh dikategorikan sebagai satu bentuk fitnah terhadap kepimpinan negeri.
Berdasarkan temuramah rasmi bersama media, YB EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yassin langsung tidak menyebut perkataan “rumah urut” dalam kenyataannya.
Fokus mesyuarat yang disentuh adalah berkaitan pengurusan waktu operasi premis tertentu di kawasan tumpuan pelancongan dengan mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kawalan pihak berkuasa tempatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Namun, kenyataan tersebut telah diputarbelit dengan memasukkan elemen “rumah urut” satu istilah yang sensitif dan mudah mencetuskan persepsi negatif seolah-olah kerajaan negeri menghalalkan atau menggalakkan aktiviti tidak bermoral. Ini bukan sahaja satu ketidakjujuran kewartawanan, malah satu percubaan membina persepsi jahat melalui tajuk sensasi.
Persoalannya, apakah motif sebenar di sebalik laporan sebegini?
Adakah ia satu cubaan terancang untuk menjatuhkan reputasi Kerajaan Negeri Melaka?
Atau sekadar strategi murahan untuk meraih perhatian dan engagement dengan mengorbankan etika serta integriti media?
Dalam konteks Melaka yang berskala kecil, realitinya “everybody knows everybody”. Sebarang laporan palsu atau separuh benar mudah dikesan dan akhirnya memakan diri sendiri. Lebih membimbangkan, amalan sebegini mencerminkan kemerosotan nilai profesionalisme dalam dunia kewartawanan digital, di mana sensasi diutamakan berbanding fakta.
Kerajaan Negeri Melaka wajar diberi ruang untuk menjelaskan dasar dan pendiriannya secara adil, tanpa dimanipulasi melalui tajuk yang berniat jahat. Rakyat pula perlu lebih kritikal, tidak mudah terpengaruh dengan laporan yang jelas bercanggah dengan kenyataan rasmi.
Fitnah bukan sahaja mencalar imej individu, tetapi merosakkan kepercayaan awam terhadap institusi. Media yang bertanggungjawab seharusnya menjadi jambatan maklumat, bukan alat untuk mencetuskan persepsi songsang demi kepentingan sempit.

