PAS Tarik Balik ‘Keahlian Terhenti’ Tiga ADUN?

Melaka Digest
By -
0

Keputusan PAS untuk “menghentikan keahlian” tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka kini menjadi polemik besar yang mencetuskan tanda tanya serius terhadap kebijaksanaan strategi politik parti itu sendiri. Menurut penganalisis politik tempatan, tindakan tersebut dilihat sebagai satu langkah paling silap, dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi undang-undang, kesan politik jangka panjang serta kemungkinan reaksi daripada pihak lain termasuk sekutu sendiri dalam gabungan.


Keputusan yang sepatutnya memperkukuh disiplin parti, sebaliknya kini dilihat mencetuskan kekeliruan dan ketidakpastian.

Situasi ini mengingatkan kembali kepada episod politik negara, peletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh. Ketika itu, keputusan yang dibuat tanpa pelan kawalan akhirnya membuka laluan mudah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih tampuk pentadbiran sedangkan beliau merupakan sebahagian daripada kelompok yang sama. Malah Mahathir dan sekutu rapat mereka turut disingkirkan dari BERSATU.

Sejarah membuktikan, kesilapan membaca gerak lawan dan rakan sendiri sering membawa padah yang sukar dipulihkan.

Kini persoalan timbul, apakah tiga kerusi DUN yang disandang oleh ADUN terbabit akan dianggap kosong sehingga memerlukan pilihan raya kecil? Atau adakah PAS bakal melakukan ‘u-turn’ dengan menarik balik keputusan, membolehkan Speaker DUN memutuskan tiada kekosongan berlaku? Lebih jauh, adakah keputusan akhir bakal diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tafsiran undang-undang?

Dalam kalangan sumber dalaman, wujud maklumat bahawa pihak istana sebolehnya tidak mahu isu ini berpanjangan dan mengharapkan ketiga-tiga ADUN berkenaan kembali menjalankan tugas seperti biasa demi kestabilan politik negeri. Namun, harapan tersebut bertembung dengan satu persoalan besar yang tidak boleh dipintas begitu sahaja, bagaimana pula kedudukan Perlembagaan PAS sendiri?


Tambahan pula, isu bai’ah yang dilafazkan oleh ketiga-tiga ADUN sebelum bertanding dalam pilihan raya umum lalu kini kembali menghantui parti. Bai’ah bukan sekadar lafaz simbolik, ia membawa implikasi moral, agama dan politik yang mendalam dalam kerangka perjuangan PAS. Jika keputusan digugurkan begitu sahaja atas alasan “kepentingan semasa”, ia berisiko meruntuhkan autoriti dalaman parti serta menjejaskan kepercayaan akar umbi.


Bai’ah boleh berubah?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)