Pengampunan: Hanya Yang di-Pertuan Agong Mempunyai Kuasa - Tengku Razaleigh

Melaka Digest
By -
0

Isu pengampunan diraja kembali menjadi tumpuan nasional apabila dikaitkan dengan keputusan kehakiman berhubung Titah Addendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak. Dalam kekalutan polemik politik dan tafsiran awam yang bercanggah, satu prinsip asas Perlembagaan Persekutuan perlu ditegaskan semula ialah kuasa pengampunan terletak sepenuhnya pada Yang di-Pertuan Agong.


Kenyataan tegas Tengku Razaleigh Hamzah mencerminkan kedudukan perlembagaan yang jelas dan tidak boleh diputar-belit. “Tidak ada dua tafsiran, hanya ada satu tafsiran kepada Perlembagaan kita atas apa-apa perkara sekali pun, kita akui bahawa Agong nombor satu,”tegas beliau ketika mengulas keputusan hakim berhubung kes Titah Addendum Najib Razak.



Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 42 dengan nyata memperuntukkan bahawa kuasa memberi pengampunan, menangguhkan atau meringankan hukuman adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Walaupun wujud Lembaga Pengampunan sebagai badan penasihat, fungsi lembaga itu tidak menghakis atau menggantikan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda. Nasihat kekal sebagai nasihat dan keputusan akhir tetap di tangan Raja.


Namun, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan sesetengah pihak untuk mencampuradukkan kuasa kehakiman, eksekutif dan institusi Raja, seolah-olah keputusan pengampunan boleh dipengaruhi oleh tekanan politik, sentimen awam atau tafsiran terpilih. Pendekatan sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berisiko mencabar struktur asas Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang negara.

Kes Titah Addendum Najib Razak seharusnya dilihat dalam kerangka perlembagaan, bukan emosi politik. Mahkamah mempunyai peranan menafsir dan menguatkuasakan undang-undang, tetapi ia tidak boleh mengambil alih kuasa yang secara jelas diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Garisan pemisah ini wajib dihormati demi kelangsungan prinsip pengasingan kuasa.

Kenyataan Tengku Razaleigh bukan sekadar pandangan politik tetapi satu peringatan perlembagaan. Dalam negara beraja yang berteraskan undang-undang, kekeliruan tafsiran hanya akan melemahkan institusi dan merosakkan keyakinan rakyat.

Akhirnya, dalam soal pengampunan, tidak wujud kelabu atau ruang manipulasi. Perlembagaan hanya mengiktiraf satu autoriti tertinggi iaitu Yang di-Pertuan Agong. Menghormati hakikat ini adalah tanggungjawab semua, tanpa mengira kepentingan politik atau individu.



Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)