Isu pengampunan diraja melibatkan Datuk Seri Najib Razak terus mencetuskan perdebatan awam, khususnya apabila ia sering digambarkan seolah-olah kerajaan dan Perdana Menteri langsung tidak mempunyai peranan atau pengaruh dalam proses tersebut. Hakikatnya, dakwaan ini tidak selari dengan realiti perlembagaan dan sejarah politik negara.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berkaitan pengampunan setelah menerima nasihat daripada Lembaga Pengampunan. Komposisi Lembaga Pengampunan itu sendiri merangkumi dua wakil kerajaan berjawatan tinggi, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara di mana kedua-duanya merupakan lantikan Perdana Menteri.
![]() |
| sumber |
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri secara terbuka pernah menyatakan bahawa beliau akan terlibat secara langsung dalam proses berkaitan kes Najib Razak. Walaupun kini peranan tersebut tidak dizahirkan secara individu, pengaruh itu tetap wujud melalui dua lantikan utama kerajaan dalam Lembaga Pengampunan iaitu Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan. Ini bukan isu persepsi, tetapi fakta struktur institusi.
Lebih menarik, sejarah politik membuktikan bahawa pengaruh Perdana Menteri dalam proses pengampunan bukan sesuatu yang baharu. Pada tahun 2018, pimpinan tertinggi Pakatan Harapan secara terbuka meletakkan syarat pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pra-syarat kepada Perdana Menteri baharu ketika itu, Mahathir Mohamad. Syarat ini bukan sahaja diterima, malah dilaksanakan sekali gus membuktikan bahawa Perdana Menteri sememangnya mempunyai pengaruh signifikan dalam proses pengampunan diraja.
Maka timbul persoalan, jika dahulu pengampunan boleh dijadikan pra-syarat politik kepada Perdana Menteri, mengapa hari ini apabila melibatkan kes Najib Razak, tiba-tiba dikatakan Perdana Menteri langsung tiada kuasa atau pengaruh?
Keadilan tidak boleh diukur berdasarkan siapa yang terlibat atau siapa yang diuntungkan. Ketelusan dan konsistensi adalah asas keadilan. Jika proses pengampunan diraja benar-benar bebas daripada pengaruh politik, maka prinsip itu mesti terpakai kepada semua kes tanpa pengecualian, tanpa naratif terpilih dan tanpa hipokrasi
Dalam negara hukum, rakyat berhak bertanya, menilai dan menuntut kejelasan. Menyederhanakan peranan kerajaan dalam isu pengampunan Najib bukan sahaja mengelirukan, malah berisiko merosakkan keyakinan awam terhadap institusi keadilan itu sendiri.



