‘Konvensyen Perkara 153’ hanyalah alat politik kumpulan Mahathir dan sekali lagi muncul dengan gaya retorik lamanya iaitu mencipta persepsi, meniup sentimen perkauman dan menggambarkan dirinya sebagai penyelamat hak Melayu.
Pendekatan “Ala Mahathir” ini bukan sahaja melentur Perkara 153 mengikut kepentingan peribadi, malah menambah naratif baharu kononnya kerajaan hari ini menggadai negara melalui perjanjian ART yang ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Amerika Syarikat. Taktik ini bukan perkara baharu tetapi ia merupakan ulangan formula lama yang hanya berfungsi untuk menghidupkan kembali pengaruh politiknya sendiri.
Hakikatnya, Mahathir tidak pernah segan menggunakan isu perlembagaan sebagai peluru politik setiap kali pengaruhnya merosot dan dengan mencetuskan naratif kononnya ART akan merugikan Malaysia, beliau cuba mewujudkan gambaran seolah-olah kerajaan kini lemah, kurang patriotik dan sanggup tunduk kepada kuasa asing.
Tuduhan sedemikian terus dimainkan tanpa analisis ekonomi, tanpa fakta perjanjian sebenar dan tanpa penghuraian manfaat strategik yang boleh dimanfaatkan negara. Yang penting baginya bukan ketepatan maklumat tetapi kesan politik dan ketakutan adalah alat paling mudah untuk digerakkan.
Corak ini sama seperti cara beliau memperalatkan Perkara 153 selama ketika beliau menjadi Perdana Menteri dengan mewujudkan musuh rekaan, menonjolkan ancaman yang diperbesar dan kemudian menempatkan dirinya sebagai benteng pertahanan Melayu.
Sementara itu, kelemahan dasar era pemerintahannya yang menghasilkan jurang ekonomi, kebergantungan subsidi dan penguasaan oligarki ekonomi terus diselindungkan melalui retorik perkauman yang berulang-ulang.
Lebih membimbangkan, perhatian rakyat dialihkan daripada isu sebenar iaitu keperluan meningkatkan daya saing ekonomi, memperkukuh tatakelola, memacu inovasi dan memperbaiki kesejahteraan rakyat.
Perkara 153 tidak pernah menjadi masalah kerana yang menjadi masalah ialah apabila ia dijadikan alat untuk menakut-nakutkan rakyat demi mempertahankan legasi politik individu. Naratif mengenai ART pula hanya satu episod baharu dalam siri percubaan menimbulkan syak wasangka terhadap kerajaan dan mengheret negara kembali ke politik ketakutan era lama.
Malaysia tidak boleh terus terikat dengan permainan persepsi yang dibina untuk menyelamatkan karier seseorang. Negara memerlukan perbincangan yang matang, berasaskan fakta dan berpaksikan kepentingan masa depan rakyat dan bukan manipulasi isu lama yang diperkemas semula.
Rakyat wajar membezakan antara pemimpin yang benar-benar membina negara dan mereka yang hanya membina naratif untuk mengekalkan relevansi sendiri termasuk yang sarat dengan kes di mahkamah atas dakwaan merompak duit rakyat ketika mereka berkuasa.
