Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan merupakan tonggak penting dalam pembinaan negara bangsa. Ia memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak di samping memastikan hak-hak sah kaum lain terus dijamin tanpa dikurangkan.
Perkara ini bukan instrumen dominasi, sebaliknya satu mekanisme imbangan bagi memastikan masyarakat yang pernah berhadapan jurang ekonomi dan pendidikan dapat dibangunkan secara tersusun tanpa menafikan ruang untuk semua kaum berkembang bersama.
Perkara 153 mengandungi peruntukan mengenai kuota dalam perkhidmatan awam tertentu, biasiswa, permit, lesen perniagaan, serta kemudahan pendidikan. Namun, ia turut menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menafikan hak sah kaum lain dalam mana-mana bidang tersebut. Inilah roh sebenar peruntukan ini, keadilan distributif bukan kelebihan tanpa had. Ia bertujuan menutup jurang sejarah penjajahan, sambil mengekalkan keharmonian antara kaum.
Dalam setiap dekad sejak sebelum merdeka, UMNO-BN telah tampil sebagai parti tonggak yang memelihara Perkara 153 secara matang, tenang dan berasaskan fakta. UMNO-BN adalah parti yang merangka Perlembagaan bersama tokoh pelbagai bangsa dengan perjuangannya terhadap hak Melayu dan Bumiputera sentiasa disandarkan kepada prinsip kebangsaan, bukannya retorik.
Hari ini, terdapat pihak yang cuba mengangkat diri sebagai “penyelamat Perkara 153”, kononnya hanya mereka yang memahami isu hak istimewa Melayu. Realitinya, UMNO-BN lah yang selama berpuluh tahun mempertahankan peruntukan ini tanpa menggugat hak-hak sah bangsa lain, sekaligus memastikan Malaysia kekal stabil. Tanpa UMNO-BN, tidak wujud persekitaran harmoni yang membolehkan semua kaum berkembang dalam pendidikan, ekonomi dan sosial secara tersusun.
Manfaat daripada Perkara 153 bukan bersifat ‘zalim’seperti yang cuba digambarkan oleh pihak yang cuba ‘menunggang’ isu ini, ia disesuaikan untuk memperbaiki jurang kemajuan nasional. Di bawah pentadbiran UMNO-BN, pendekatan itu diimbangi dengan dasar yang memastikan peluang tetap terbuka untuk semua rakyat termasuk kaum Cina, India, Orang Asli dan bukan Bumiputera lain. UMNO-BN membentuk sebuah model negara yang menolak ekstremisme dan memastikan dasar pembangunan tidak mencetuskan ketegangan.
UMNO-BN tidak pernah membawa slogan berlebihan untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya hak mereka terancam. Sebaliknya, parti itu mengambil pendekatan tanggungjawab nasional, bukan retorik parti.
Dalam konteks agama pula, UMNO-BN memainkan peranan paling konsisten dalam memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Selama puluhan tahun pemerintahan, UMNO-BN membuktikan bahawa mempertahankan Islam tidak perlu dilakukan dengan retorik keras atau pendekatan perpecahan.
Kerajaan UMNO-BN membina ratusan institusi agama, memperkukuh mahkamah syariah, menambah baik pendidikan Islam dan memastikan pembangunan syiar Islam seiring kemajuan negara. Dalam masa sama, agama lain terus bebas diamalkan. Ini bukan slogan tetapi ia realiti pentadbiran yang terbukti stabil dan sederhana.
UMNO-BN juga memainkan peranan penting dalam menolak ratifikasi ICERD yang dikhuatiri berpotensi menggugat struktur Perlembagaan termasuk kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan Perkara 153. Walaupun sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan daripada isu ini untuk mencipta persepsi kononnya mereka sahaja yang mempertahankan hak Melayu, UMNO-BN telah sejak awal menegaskan bahawa ICERD tidak sesuai dengan konteks Malaysia.
Keputusan pembatalan ICERD memperlihatkan prinsip UMNO-BN iaitu mempertahankan keseimbangan sosial, menjaga identiti negara dan memastikan integriti Perlembagaan kekal terpelihara.
Mengapa UMNO-BN Kekal Relevan Dalam Mempertahankan Perkara 153?
Rekod Keberkesanan UMNO-BN bukan sekadar bercakap mengenai Perkara 153; mereka membentuk dasar yang mengangkat Melayu dan Bumiputera keluar daripada kitaran kemiskinan sambil memastikan pembangunan negara dapat dikongsi oleh semua kaum.
UMNO-BN menolak retorik perpecahan. Pendiriannya sentiasa berakar pada peruntukan Perlembagaan dan kepentingan nasional.
Perkara 153 dipertahankan tanpa meminggirkan hak komuniti lain, sesuatu yang hanya mampu dicapai oleh parti yang memerintah berdasarkan konsensus, bukan sentimen.
Dasar yang konsisten membolehkan pelabur, industri dan rakyat yakin dengan hala tuju negara; ini mustahil tanpa keseimbangan kaum yang dibentuk UMNO-BN.
Perkara 153 bukan sekadar peruntukan perundangan tetapi ia adalah asas kepada kontrak sosial, keadilan distributif dan keharmonian antara kaum dan sepanjang sejarah negara, UMNO-BN menjadi pejuang paling tulen dan konsisten dalam mempertahankan peruntukan ini, bukan hanya dari sudut hak Melayu dan Bumiputera, tetapi juga dari segi menjamin hak sah kaum lain.
Hakikatnya, perjuangan UMNO-BN bukanlah ‘heroisme’ bermusim tetapi komitmen berdekad lama yang membentuk Malaysia sebagai negara stabil, sederhana dan inklusif. Itulah sebabnya UMNO-BN terus dilihat sebagai benteng paling sah dan berwibawa dalam mempertahankan Perkara 153 dan struktur asas Perlembagaan negara.
Baca juga, ‘Konvensyen 153’: Sebuah Perjuangan Retorik
Benarkah dakwaan dari pemilik akaun TikTok yang bernama "Parkyub @parkyub4"?

