‘Konvensyen 153’: Sebuah Perjuangan Retorik

Melaka Digest
By -
0



Ada pihak yang cuba menampakkan mereka adalah kumpulan yang memperjuangkan ‘Perkara 153’ namun menjadi satu persoalan besar, kenapa tidak dilaksanakan ketika berkuasa selama 22 tahun?

Paling jelas, ‘Konvensyen 153’ adalah medan kembali modal politik oleh segelintir tokoh lama yang cuba menjenamakan semula naratif lapuk untuk meraih sokongan.

Apa yang berlaku hakikatnya bukan lagi perbahasan konstruktif mengenai kedudukan istimewa Melayu, Islam atau institusi Raja-Raja, sebaliknya ia hanyalah kitaran retorik yang sama, dibangkitkan oleh mereka yang pernah memegang kuasa namun gagal mempertahankan prinsip yang kini mereka dakwa mahu perjuangkan.

Dalam konteks ini, rekod Tun Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri wajar diperhalusi secara objektif. Apa yang diperkatakan hari ini sering tidak selari dengan apa yang dilakukan ketika memegang tampuk kuasa.

Empat teras yang cuba diperjuangkan sebagai modal konvensyen adalah sebenarnya empat isu yang menjadi kegagalan utama selama beliau menjadi Perdana Menteri walaupun beliau menjadi PM untuk kali kedua.

1. Komitmen terhadap hak keistimewaan rumpun Melayu yang longgar dan tidak konsisten


Walaupun Mahathir sering menampilkan diri sebagai pejuang Melayu, keputusan-keputusan besar dalam dasar ekonomi dan pentadbiran menunjukkan ketidaktegasan dalam memperkukuhkan ekosistem bumiputera.

Banyak peluang strategik terbuka sewaktu negara pesat membangun sewaktu beliau memegang tampuk kuasa tidak dimanfaatkan untuk membina legasi ekonomi Melayu yang kukuh dan tahan lama. ‘Privatization’, liberalisasi sektor tertentu dan pembentukan elit korporat terpilih akhirnya melemahkan kedudukan kolektif bumiputera secara agregat.

2. Penghormatan terhadap Islam sebagai agama Persekutuan tidak diterjemahkan ke dasar yang konsisten

Mahathir kerap menggunakan retorik memperkasakan Islam, namun pentadbirannya mempamerkan pendekatan yang sering bersifat politik dan bukan berasaskan pembinaan sistem Islam yang lestari. Pelaksanaan institusi agama, pendidikan Islam dan undang-undang syariah tidak berkembang seiring keperluan masyarakat moden. Banyak keputusan lebih dipandu kepentingan politik berbanding visi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia contoh negara Islam progresif.

3. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tidak diberi keutamaan sebenar

Era Mahathir juga memperlihatkan ketidakkonsistenan dalam menjulang Bahasa Melayu. Tidak sedikit dasar pendidikan dan pentadbiran yang membuka ruang lebih luas kepada penggunaan bahasa asing terutama dalam sektor akademik dan ekonomi. Kesan jangka panjangnya ialah status Bahasa Melayu yang kekal “dipertahankan di atas kertas”, namun kedudukannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa profesional tidak diperkukuhkan setegas negara-negara yang berjaya memartabatkan bahasa kebangsaan mereka.

4. Kedaulatan Raja-Raja Melayu pernah digugat melalui pendekatan konfrontatif

Hubungan Mahathir dengan institusi Raja-Raja Melayu bergolak pada beberapa fasa penting, terutama ketika pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993. Walaupun beliau berhujah bahawa perubahan tersebut penting untuk reformasi pentadbiran, pendekatan yang konfrontatif memberi kesan besar kepada landskap kuasa Raja-Raja Melayu sehingga hari ini. Ramai melihat episod tersebut sebagai detik paling signifikan dalam melemahkan sebahagian prerogatif institusi beraja dalam sejarah moden negara.

Jadi dengan cubaan mengangkat semula isu ‘Perkara 153’ bukanlah suatu kesalahan jika tujuannya untuk memperkukuh kontrak sosial dan keharmonian nasional. Namun apabila ia dibangkitkan oleh tokoh-tokoh yang mempunyai rekod bercanggah dengan apa yang kini mereka seru, rakyat berhak menilai dengan kritikal.

Politik baharu menuntut kejujuran, bukan nostalgia, bukan pengulangan retorik dinosor dan bukan kitar semula isu demi kepentingan peribadi dan kelompok politik tertentu.

Apa yang diperlukan adalah kepimpinan yang mampu menerjemahkan prinsip Perlembagaan ke dalam dasar masa depan yangadil, berasaskan fakta dan memberi manfaat kepada semua, tanpa menggadai identiti negara.

Rakyat juga nampak bahawa mereka adalah kumpulan terdesak dan bukannya kumpulan mendesak.
 

Paling memalukan adalah Rahim Tamby Chik di status facebook miliknya yang tertera perkataan yang tidak sepatutnya ditulis oleh bekas Ketua Menteri Melaka(lantikan UMNO BN). Tidak ubah seperti seorang siber truper upahan.

"Dah tua bangka tetapi cam budak-budak, hamlau sungguh" kata orang Melaka

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)