Badi “Abah Sayang Melaka”, Kini Berulang Dengan “PMX Sayang Sabah”

Melaka Digest
By -
0

Isyarat slogan kempen yang hampir serupa kembali mencuri perhatian dan kali ini di gelanggang pilihanraya negeri Sabah.


Jika di pilihanraya negeri Melaka pada tahun 2021dahulu Perikatan Nasional tampil dengan slogan “Abah Sayang Melaka” dan berakhir dengan keputusan kalah teruk dan hanya memenangi 2 kerusi DUN, kini di pilihanraya negeri Sabah, Pakatan Harapan pula menggunakan slogan kempen “PMX Sayang Sabah”.

Persoalannya: adakah ini satu kebetulan, strategi kitar semula oleh pengurus kempen yang sama atau wujud tangan-tangan tertentu yang meniru gaya kempen Perikatan Nasional di PRN Melaka?

Apa pun jawapannya, keputusan PRN Sabah memberikan gambaran yang tidak menyebelahi Pakatan Harapan. Seperti mengulangi episod PRN Melaka 2021, badi kegagalan seolah-olah terbawa ke PRN Sabah.

Pakatan Harapan yang bertanding 10 kerusi, hanya berjaya meraih satu kerusi DUN sahaja, itu pun kerusi Melalap yang mana calonnya dipinjam dari GRS.

Lebih mengejutkan, DAP yang sudah lama bertapak dalam politik Sabah tewas di semua kerusi yang ditandingi, sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan tahap penolakan pengundi terhadap kempen yang dibawa.

Pakatan Harapan bukan sahaja gagal menambah pengaruh, malah berdepan penolakan besar-besaran di lapangan, khususnya kawasan majoriti KDMR dan pedalaman.

Walaupun naratif “PMX Sayang Sabah” digerakkan dengan intensif, ia tidak berjaya menawan sentimen pengundi.

Slogan yang indah tidak mampu mengimbangi rasa tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan Persekutuan di mata pengundi Sabah.

Keputusan PRN Sabah mengesahkan satu perkara penting iaitu strategi kempen “PMX Sayang Sabah” tidak menghasilkan kelebihan politik. Malah, ia memperlihatkan bahawa pengundi Sabah semakin menuntut pendekatan yang menghormati autonomi negeri dan bukan sekadar kempen bertema individu.

Jika badi Melaka menjadi amaran awal kepada Muhyiddin, maka PRN Sabah pula menjadi cermin kepada PMX bahawa strategi politik gaya Semenanjung tidak boleh diimport bulat-bulat ke Sabah.

Daripada slogan-slogan manis, pengundi kini menagih dasar yang lebih menyeluruh, hala tuju ekonomi yang jelas dan penghormatan terhadap suara tempatan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)