UMNO Perlu 'Move On', Lupakan Najib - Bekas Setiausaha Akbar Najib

Melaka Digest
By -
0

Inilah antara beberapa komen yang saya terbaca. Ada juga yang hantar syot layar kepada saya tentang cadangan seumpama ini. Mereka nak tahu pandangan saya.


Ok pandangan saya begini je lah.

Nak kata UMNO tak move on itu adalah pandangan yang salah sama sekali.

UMNO dah buat gerakan untuk Move On pada malam keputusan PRU-14 lagi iaitu tahun di mana BN kalah buat pertama kali.

Sebelum keputusan rasmi diumumkan, 5 pemimpin kanan UMNO telah berjumpa DS Najib Tun Razak di rumah untuk mendesak beliau mengumumkan perletakan jawatan secepat mungkin sebagai memikul beban tanggungjawab di atas kekalahan BN.

Dan Najib akur. Beliau melepaskan jawatan Presiden UMNO beberapa hari kemudian.

Sejak itu UMNO telah Move On untuk menyusun langkah ke arah kebangkitan semula. Langkah baru tanpa kelibat Najib. Tanpa bayangan Najib dan tanpa campurtangan Najib.

Kemudian Najib berhadapan dengan segala bentuk siasatan sama ada daripada polis, SPRM, LHDN dan sebagainya.

Selepas itu, Najib terpaksa pula berhadapan dengan begitu banyak kes dan pertuduhan di mahkamah.

Beliau menghadapinya tanpa pernah menyuruh UMNO melawan pemerintah sebagai mana cara Anwar melawan Mahathir sebelum itu.

Beliau berjuang dengan cara yang tertib tanpa pernah mengajak pejuang UMNO turun ke kancah demostrasi dan kekacauan. Malah beliau tidak mengajak penyokongnya membantah di jalanan.

Semua dihadapinya dengan tabah. Kalah kes, menang kes, merayu di segala jenis mahkamah yang ada, semua sudah dilaluinya. Tambah perit, terpaksa berhadapan dengan perbicaraan yang tidak adil.

Termasuklah kalah kes titah addendum yang hakikatnya memang wujud tapi dikalahkan dengan alasan tertentu.

Berbalik soal UMNO telah move on atau tidak, selepas Najib tidak lagi boleh aktif berpolitik dan dipenjarakan, apa pencapaian terbaik yang UMNO telah capai?

PRU-15 pada tahun 2022, BN hanya tinggal 30 kerusi Parlimen. Kalah di beberapa negeri.

PRN 6 negeri? Pencapaian paling teruk dalam sejarah UMNO sehinggakan di negeri Melayu seperti Terengganu hanya tinggal telur untuk UMNO.

PRN Sabah ke 17? Juga paling teruk pencapaian UMNO. Bahkan anak sulung UMNO di Sabah iaitu kerusi DUN Usukan turut hilang di saat PAS meraikan kelahiran anak sulung mereka di Karambunai.

Selepas 7 tahun BN tewas di PRU-14, kenapa sekarang baru nak sembang soal move on. Baru keluar gua ke?

UMNO dan BN dan move on sejak 7 tahun lalu, tapi masih gagal bangkit. Najib tidak campurtangan pun dalam urusan UMNO selepas tidak lagi menjadi Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional.





Cuma sekali-sekala adalah pemimpin yang datang berjumpa beliau untuk meminta nasihat dan pandangan, tetapi bukanlah bersifat mengarah.


Malangnya, perubahan yang diharap kurang berhasil. Penolakan terhadap BN oleh rakyat masih kuat atas pelbagai faktor.

Malah ada yang kata UMNO kebelakangan ini makin longlai berbanding zaman Najib. Sudah takde faktor penarik.

Yang banyak menegur ini, ahli UMNO jugak. Mereka yang masih sayangkan parti dan teringin melihat parti tersebut menyinar kembali.
Jika nak terus move on, buat sajalah. Taknak kaitkan nama Najib pun tak apa. Najib pun tak pernah suruh jual nama dia. Janji parti bangkit dan kembali bermaruah.

Najib pun memang sayangkan parti UMNO ini.

Apa yang rakyat nampak, bila BN dan UMNO gagal untuk bangkit dengan barisan kepimpinan yang ada sekarang di samping kepercayaan rakyat terhadap kemampuan kerajaan yang mula menurun, mereka mula membandingkan kelebihan di zaman Najib.

Sepatutnya, zaman Najib ketika kalah adalah titik paling rendah untuk UMNO dan BN.

Tetapi malangnya, titik paling rendah berlaku di bawah pemimpin selepas Najib.

Suka atau tidak itulah realitinya.

Jadi, jika nak wujudkan gerakan move on fasa baru silakan. Tapi pastikan formula baru tu jauh lebih baik daripada sekarang dan jauh lebih baik dari era Najib.

Selamat Mencuba.


Datuk Akmar Hisham Mokhles

Gambar: peristiwa pada 6 April 2018, sewaktu Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan tarikh pembubaran parlimen iaitu berkuatkuasa pada 7 April 2018 menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dari Perdana Putra kira-kira pukul 12 tengah hari selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet terakhir untuk penggal tersebut.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)