![]() |
| ABU BAKAR HAMZAH, MEGAT HASHIRAT HASSAN dan IZIZAM IBRAHIM |
Kemelut politik di Perlis kini memasuki fasa kritikal apabila kedudukan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dilihat semakin goyah susulan tindakan lapan daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang didakwa telah menarik balik sokongan terhadap beliau. Perkembangan ini bukan lagi sekadar khabar angin politik, sebaliknya disokong dengan dakwaan bahawa kesemua ADUN terbabit telah mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada.
Daripada lapan ADUN berkenaan, lima dilaporkan daripada BERSATU manakala tiga lagi daripada PAS. Hakikat ini sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa isu yang berlaku bukan bersifat terpencil atau bermotif peribadi tetapi mencerminkan kegagalan kepimpinan untuk mengekalkan kepercayaan majoriti dalam gabungan yang membentuk kerajaan negeri. Dengan sokongan minoriti, kedudukan Mohd. Shukri secara praktikalnya sudah tidak lagi kukuh dari sudut legitimasi politik.
Lebih menarik, sumber dalaman memaklumkan bahawa tiga nama telah dikemukakan kepada Sultan Perlis sebagai calon Menteri Besar baharu dan kesemuanya adalah daripada parti BERSATU. Ini memberi isyarat jelas bahawa BERSATU kini dilihat sebagai parti yang lebih berupaya untuk memulihkan kestabilan pentadbiran negeri, selain memiliki sokongan mencukupi dalam Dewan Undangan Negeri bagi membentuk kerajaan yang berfungsi dengan efektif.
Tambahan pula, majoriti ADUN PAS Perlis juga dikatakan tidak membantah pencalonan daripada BERSATU. Perkembangan ini penting kerana ia menunjukkan wujud kesediaan dalam PAS untuk bersikap realistik dan mengutamakan kestabilan kerajaan negeri berbanding mempertahankan jawatan semata-mata. Dalam politik gabungan, keupayaan untuk bertolak ansur dan membaca realiti semasa adalah kunci kelangsungan kuasa.
Dalam konteks ini, peranan Pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim, turut menjadi perhatian. Menurut sumber, beliau tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan agar jawatan Menteri Besar diberikan kepada BERSATU. Sikap ini, jika benar, mencerminkan pengiktirafan bahawa kepimpinan negeri memerlukan nafas baharu dan pendekatan yang lebih inklusif bagi merapatkan kembali jurang dalam gabungan PN.
Akhirnya, keputusan berada di tangan Raja Perlis selaku payung kedaulatan negeri. Namun mesej politik yang terzahir daripada perkembangan ini jelas, demi kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan kepentingan rakyat Perlis, sudah tiba masanya ruang dan peluang diberikan kepada BERSATU untuk memimpin. Politik tidak seharusnya terikat pada ego tetapi berpaksikan kepercayaan dan keupayaan untuk mentadbir dengan berkesan.
