Babi: Malaysiakini Melampau

Melaka Digest
By -
0


Permohonan maaf oleh Malaysiakini BM selepas menyiarkan gambar babi bersama teks “PAU 2026 tentukan hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan sekadar isu teknikal atau kesilapan editorial. Ia adalah contoh jelas keterlaluan media yang gagal mematuhi etika kewartawanan paling asas iaitu menghormati sensitiviti, konteks dan akal pembaca.


Dalam era digital yang serba pantas dan telus ini, alasan “gambar dan berita tidak berkaitan” sudah tidak lagi boleh diterima bulat-bulat. Pembaca hari ini bukan naif. Mereka tahu membezakan antara silap jujur dengan kecuaian yang berbau provokasi, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan simbol yang sangat sensitif kepada majoriti umat Islam di negara ini.


Lebih memburukkan keadaan, hasil carian songsang (reverse image search) mendapati gambar tersebut bukan gambar rawak tetapi memaparkan empat ekor babi di dalam kandang dengan seekor kelihatan seolah-olah “tersenyum”. Soalnya mudah bagaimana imej sebegini boleh “tersalah” dipadankan dengan berita politik UMNO, khususnya berkait Perhimpunan Agung UMNO (PAU)?


Ini bukan sekadar soal editorial cuai. Ini soal tanggungjawab media dan niat. Malaysiakini mungkin menafikan niat jahat, tetapi dalam kewartawanan, persepsi awam adalah realiti. Apabila sesuatu kandungan mencetuskan kemarahan, penghinaan dan luka emosi, permohonan maaf satu perenggan tidak memadam kesannya.


Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh, menyuarakan apa yang dirasakan oleh ramai akar umbi bahawa tindakan tersebut kurang ajar dan tidak boleh diterima. Malah gesaan agar ketua Malaysiakini tampil sendiri ke PAU untuk memohon maaf secara terbuka adalah mesej yang jelas jangan berlindung di sebalik kenyataan korporat apabila maruah dan sensitiviti dipijak.


Media seharusnya menjadi institusi yang mencerdaskan, bukan memanipulasi simbol dan emosi. Kebebasan media bukan lesen untuk memperlekeh, menyindir secara halus atau bermain api sensitiviti kaum dan agama. Jika ini yang dinamakan “kewartawanan progresif”, maka ia sebenarnya regresif dan berbahaya.


Zaman ini bukan zaman membodohkan pembaca. Rakyat menilai, menyaring dan menghakimi sendiri. Dan dalam kes ini, permohonan maaf tidak menghapus persoalan yang lebih besar Adakah ini benar-benar silap atau satu sikap longgar yang sudah lama berakar?


Malaysiakini wajar berhati-hati kerana tiada kenyataan maaf yang mampu membelinya kembali.






Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)