Dalam politik Malaysia, ada pemimpin yang 'seronok' bersuara di media sosial, ligat muncul di podcast dan berani membuat tuduhan berat atas nama “pendedahan”. Namun apabila mahkamah ‘bersuara’ tiba-tiba muncul cerita baharu: “Saya tak tahu, saya tak terima saman, saya terkejut.” Inilah bab terbaru dalam kisah Chegu Bard, lantang di YouTube, pening kuat dalam isu di mahkamah.
Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard kini memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membayar RM550,000 sebagai ganti rugi fitnah kepada ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador. Alasannya mudah, beliau mendakwa tidak pernah menerima writ saman dan tidak tahu-menahu mengenai prosiding kes tersebut.
Keputusan mahkamah itu bukan dibuat secara senyap-senyap. Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan bahawa Chegu Bard dan rakan podcasternya, Nurpais Ismail telah memfitnah Farhash secara jelas, terancang dan berniat jahat melalui satu podcast yang disiarkan kepada khalayak umum.
Podcast itu bukan ‘rancangan sulit’ tetapi siaran terbuka yang ditonton ribuan orang dengan nama Farhash disebut berulang kali, lengkap dengan label “anak emas Perdana Menteri”.
Namun apabila penghakiman diumumkan, nada Chegu Bard berubah. Beliau mendakwa hanya mengetahui kewujudan saman selepas membaca laporan media. Peguamnya pula tampil mengesahkan kononnya anak guam mereka “terkejut” dengan keputusan mahkamah. Menariknya dalam masa yang sama tawaran bantuan kewangan daripada penyokong mula mengalir. Di sinilah politik simpati cuba dimainkan daripada defendan fitnah bertukar menjadi mangsa system?
Masalahnya, versi ini tidak seiring dengan fakta mahkamah. Peguam Farhash dengan tegas mengesahkan bahawa writ saman telah disampaikan melalui perintah penyampaian ganti yang sah, dibenarkan dan disahkan oleh mahkamah. Afidavit penyampaian telah difailkan, disemak dan diterima. Hakim sendiri mengesahkan perkara itu dalam prosiding. Dalam bahasa mudah, undang-undang telah dipatuhi, bukan direka.
Sebagai ‘kaki dedah’, Chegu Bard bukan individu asing daripada sistem perundangan. Beliau kerap bercakap soal undang-undang, keadilan dan konspirasi kuasa dalam ruang public tetapi apabila proses undang-undang benar-benar berjalan, alasan “tak terima saman” pula yang dijadikan benteng. Adakah keberanian bersuara di podcast tidak disertai keberanian mempertahankan kata-kata di mahkamah?
Mahkamah telah menjatuhkan ganti rugi yang besar iaitu RM300,000 ganti rugi am, RM100,000 ganti rugi teladan, RM150,000 ganti rugi teruk, kos dan faedah. Jumlah itu bukan muncul kerana satu ayat tersalah cakap tetapi kerana mahkamah mendapati wujud niat jahat, eksploitasi sensasi dan penyebaran fitnah secara sedar untuk tujuan politik dan komersial.
