Ikatan Prihatin Rakyat Ganti Perikatan Nasional?

Melaka Digest
By -
0

Ketika kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) masih belum berpenghujung, Langkah Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) semalam mengundang persoalan dalam landskap politik pembangkang, adakah ini sekadar mesyuarat rutin atau isyarat awal kepada pelan alternatif menggantikan PN?


Mesyuarat tersebut jelas signifikan dari sudut politik. Muhyiddin hadir bersama pemimpin parti-parti yang selama ini berada dalam ‘circle’ PN seperti Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam.

Turut serta ialah Mukhriz Mahathir (Pejuang), Ibrahim Ali (Putra), P Waytha Moorthy (MAP) serta pimpinan Urimai. Namun satu ketiadaan paling ketara ialah PAS yang juga komponen IPR sendiri. Mungkin PAS lupa, siapa yang tidak hadir sering kali lebih penting daripada siapa yang hadir.


Walaupun pihak terlibat menegaskan mesyuarat itu hanyalah mesyuarat biasa IPR yang pertama bagi tahun ini, konteks semasa menjadikan penjelasan itu sukar diterima bulat-bulat. Hubungan Bersatu–PAS sedang berada pada tahap paling rapuh sejak PN ditubuhkan khususnya berkaitan jawatan pengerusi PN yang masih tergantung selepas Muhyiddin melepaskan jawatan tersebut pada 1 Januari lalu. Kekosongan itu bukan sekadar isu jawatan tetapi mencerminkan krisis kepercayaan dan perebutan hala tuju dalam gabungan.


Lebih menarik, antara agenda utama mesyuarat IPR ialah keperluan pembangkang bersatu menghadapi PH–BN terutama menjelang PRN Melaka dan Johor. Hakikat bahawa perbincangan “kesatuan pembangkang” berlaku di luar kerangka PN memberi gambaran jelas tentang keyakinan terhadap PN sebagai wadah tunggal pembangkang semakin terhakis.

Kenyataan Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim yang menyifatkan hala tuju PN masih kabur dan menjejaskan keyakinan rakyat hanya mengesahkan kegusaran yang lama berlegar dalam kalangan parti kecil dan pemerhati politik.

IPR, walaupun longgar dan bersifat payung, kini dilihat mula berfungsi sebagai platform “opsyen kedua”. Ia menghimpunkan parti-parti yang mungkin tidak mempunyai kekuatan besar secara individu tetapi berkongsi kebimbangan yang sama iaitu PN tidak lagi stabil, tidak jelas kepimpinannya dan terlalu terikat dengan konflik dalaman antara Bersatu dan PAS. Dalam keadaan ini, IPR berpotensi menjadi ruang rundingan baharu sama ada sebagai pelengkap kepada PN atau sebagai pelan B sekiranya PN gagal dipulihkan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)