Kalah Saman: Chegu Bard “Tak Sedar” Atau Buat-buat Lupa?

Melaka Digest
By -
0

Naratif baharu mula disusun untuk lepaskan diri?


Bukan menafikan isi penghakiman, bukan juga menjawab dapatan mahkamah sebaliknya mendakwa “tidak sedar” wujudnya saman fitnah. Itulah ayat yang keluar dari mulut Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau bersama pencipta kandungan Nurpais Ismail membayar RM550,000 kepada ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador.

Umpama terjatuh tangga, salahkan berok di hutan.

Mahkamah tidak membuat keputusan membuta-tuli. Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan kenyataan Chegu Bard dalam audio siar telah menggambarkan Farhash sebagai individu korup dan tidak layak memegang jawatan profesional serta politik. Lebih berat, mahkamah mendapati wujud niat jahat dan kenyataan disampaikan sebagai fakta, tajuk sensasi digunakan untuk eksploitasi komersial serta kandungan dibiarkan beredar walaupun notis pemadaman telah dikeluarkan sejak Mei tahun lalu. Ini bukan kes “tersalah cakap” tetapi corak yang disengajakan dan terancang.

Namun kedua-duanya tidak hadir ke mahkamah. Kini selepas keputusan dijatuhkan dan media melaporkan penghakiman, barulah muncul dakwaan “kami tak pernah terima saman”. Pelik. Dalam era notifikasi digital, e-filing, peguam dilantik dan kandungan disebar merentas pelbagai platform, mustahil sebuah saman bernilai ratusan ribu ringgit boleh “terlepas pandang” begitu sahaja kecuali jika kehadiran ke mahkamah memang tidak pernah menjadi keutamaan.

Lebih ‘membodohkan orang ramai’, strategi ini cuba mengalihkan fokus masyarakat daripada isu sebenar, fitnah yang disahkan oleh mahkamah. Tuduhan rasuah, kronisme dan salah guna pengaruh politik bukan isu kecil. Ia merosakkan reputasi dan memberi kesan nyata. Mahkamah telah menilai bukti, niat dan konteks bukan sekadar mendengar hujah media sosial. Keputusan dibuat berdasarkan undang-undang bukan sentimen.

Jika benar tidak sedar, mengapa notis pemadaman diabaikan? Jika benar tidak tahu, mengapa kandungan sensasi terus ‘monetize’? Jika benar yakin berada di pihak benar mengapa tidak hadir mempertahankan diri? Soalan-soalan ini lebih penting daripada alasan prosedur yang muncul selepas hukuman dijatuhkan.

Kisah “tak sedar ada saman” mungkin laku di ruangan komen tetapi di hadapan undang-undang ia kedengaran lebih seperti alasan terakhir selepas segalanya terlambat. Aktivisme tanpa tanggungjawab akhirnya berakhir di mahkamah dan kali ini, keputusan sudah pun dibaca.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)