PAS Bergerak Solo – Muryidul Am

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bahawa PAS wajar bergerak solo dalam PRU akan datang bukan sekadar lontaran emosi atau retorik sementara. Ia adalah amaran yang keras kepada rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu. Apabila seorang pemimpin paling atas dalam PAS dikenali berdisiplin dan berhati-hati dalam berkata-kata mula membuka opsyen “bertanding solo”, itu bermaksud kesabaran sudah berada di hujung talian.


Realitinya, krisis PN bukan lagi soal teknikal jawatan pengerusi semata-mata. Ia sudah menjadi krisis kepercayaan. Pertembungan naratif antara Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang berhubung surat bertarikh 27 Januari mendedahkan betapa rapuhnya kesepakatan yang kononnya telah dicapai.

Satu pihak mendakwa persetujuan wujud, satu pihak lagi menafikannya secara terbuka. Dalam politik, apabila dokumen sulit bocor dan isinya dipertikaikan oleh tokoh utama sendiri maka itu menandakan kegagalan kepimpinan kolektif.

Cadangan Hashim agar PAS bertanding solo jika konflik berlarutan harus dibaca sebagai strategi tekanan.

PAS sedar kekuatan sebenar mereka bukan terletak pada meja rundingan elit PN tetapi pada jentera akar umbi yang setia dan konsisten. Keyakinan Hashim bahawa langkah solo akan disambut baik, khususnya di Perlis mencerminkan bacaan dalaman PAS yang merasakan mereka tidak lagi mendapat pulangan setimpal daripada kerjasama yang tempang.

Lebih memalukan, ketiadaan pimpinan PAS dalam mesyuarat pramajlis PN di kediaman Muhyiddin bukan kebetulan. Ia satu mesej yang jelas bahawa PAS tidak mahu lagi menjadi penumpang dalam gabungan yang hala tujunya kabur. Dalam bahasa politik, ini adalah “cold shoulder” yang disengajakan dan bukan untuk memutuskan hubungan serta-merta tetapi cukup untuk menunjukkan siapa yang kini memegang ‘leverage’.

Idea memansuhkan jawatan Pengerusi PN dan menggantikannya dengan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif hanya menambah kekeliruan. Struktur boleh diubah, jawatan boleh dipadam tetapi selagi persoalan siapa mengawal keputusan utama tidak dijawab secara jujur maka PN akan terus berlegar dalam krisis yang sama. PAS melihat ini sebagai cubaan mengelak isu sebenar, bukan menyelesaikannya.

Kenyataan PAS bergerak solo bukan ancaman kosong. Ia adalah pelan kecemasan yang sedang diatur. Jika PN terus gagal menyelesaikan konflik kepimpinan dengan baik, jangan terkejut jika PAS benar-benar memilih untuk bertanding sendirian dan hanya berbincang soal kuasa selepas keputusan rakyat diperoleh.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)