Muhyiddin Kembali Diasak Untuk Lepaskan Jawatan

Melaka Digest
By -
0

Kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) kini memasuki fasa paling getir. Ia tidak lagi sekadar perbezaan pandangan tetapi telah berkembang menjadi krisis struktur yang mempamerkan wajah sebenar sebuah gabungan yang rapuh.


PN kelihatan bergolak, bercelaru dan gagal menunjukkan sebarang tanda pemulihan dan kemuncaknya adalah ketidakhadiran Presiden PAS dalam Mesyuarat Presiden PN malam tadi.

Ia memberi signal politik yang jelas dan nampak seperti tekanan terhadap Muhyiddin Yassin telah digerakkan secara sistematik melalui kem Hamzah Zainuddin-Takiyuddin Hassan, dua watak yang semakin lantang dan dilihat mewakili kehendak segmen tertentu dalam Bersatu dan PAS. Naratifnya konsisten, Muhyiddin mesti berundur, dan kepimpinan PN perlu “disegarkan” dengan wajah baharu.

Sejak hujung tahun lalu desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan semakin kuat dan dipercepatkan oleh kekalahan teruk PN dalam PRN Sabah. Peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi PN sepatutnya menjadi isyarat peralihan penuh termasuk meninggalkan kerusi Presiden Bersatu. Namun Muhyiddin orang lama dalam sepak terajang politik, pengunduran sepenuhnya bukan penamat terhormat tetapi pengkebumian politik oleh gabungan yang beliau sendiri bina. Ironinya, arkitek utama ‘projek PN’ kini dilihat sebagai liabiliti terbesar kepada kelangsungan projek tersebut.

PAS pula semakin jelas menunjukkan jarak. Bagi mereka, Muhyiddin dianggap kehabisan modal politik sedangkan Hamzah Zainuddin masih mempunyai nilai tawar-menawar strategik. Isu Jana Wibawa yang terus menghantui PN menambah beban reputasi dan PAS tidak mahu terus menanggung kos politik yang bukan berpunca daripada mereka. Sikap dingin PAS bukan emosi tetapi keputusan survival yang mementingkan diri.

Di dalam Bersatu sendiri, sokongan terhadap Muhyiddin telah lama menghakis. Beliau dilihat terlalu berhati-hati dan enggan “berbelanja” untuk menggerakkan jentera parti. Bersatu ialah parti yang terbiasa hidup dengan limpahan dana ketika berkuasa. Apabila kuasa pusat hilang, saluran dana terputus, jentera lumpuh dan gerak kerja akar umbi hampir mati. Bertambah marah ahli akar umbi kepada Muhyiddin.

Daripada kegagalan inilah muncul gerakan menukar presiden. Hamzah Zainuddin diposisikan sebagai alternatif yang lebih “berfungsi”, lebih agresif, lebih kreatif mencari sumber dan lebih berani mengambil risiko. Soalnya bukan siapa lebih bersih atau bermaruah tetapi siapa mampu memastikan kerja politik terus bergerak. Dalam politik ala Bersatu, moral sering kali ditangguhkan demi kelangsungan kuasa.

PAS memahami permainan ini dengan baik. Selagi Muhyiddin dilihat sebagai beban dan bukan aset, PAS tidak akan mempertaruhkan masa depan mereka. Sikap menjauh, kehadiran selektif, dan komunikasi dingin adalah keputusan strategik, bukan kebetulan. Mampukah Bersatu hidup tanpa Muhyiddin?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)