Hadi Enggan Jumpa Muhyiddin?

Melaka Digest
By -
0

Mesyuarat pra-majlis Perikatan Nasional (PN) di kediaman Muhyiddin Yassin berjalan seperti dirancang. Presiden Bersatu selaku tuan rumah hadir, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau hadir, Presiden MIPP P. Punithan hadir. Suasana digambarkan mesra, penuh semangat setia kawan dan kononnya “PN stabil”. Namun satu kerusi paling penting kosong, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak hadir.


Punithan cuba meredakan keadaan. Katanya, “PAS tidak ada, tidak mengapa.” Ayat itu ringkas, tetapi implikasinya besar. Dalam politik gabungan, ketiadaan seorang presiden parti teras bukan perkara kecil. Lebih-lebih lagi apabila mesyuarat itu bertujuan menentukan hala tuju PN selepas beberapa perkembangan genting termasuk peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. Jika benar semuanya “okay”, mengapa tokoh paling berpengaruh dalam PN memilih untuk tidak datang?

Naratif bahawa PN kekal stabil semakin sukar dipertahankan apabila isyarat yang dihantar adalah isyarat yang boleh dibaca dengan mudah. Diam bukan neutral. Diam boleh dibaca sebagai bantahan senyap, ketidaksediaan berunding atau mesej bahawa keputusan penting tidak wajar dibincangkan dalam kerangka yang dicadangkan. Apatah lagi mesyuarat pra-majlis ini bukan sidang media atau acara simbolik tetapi pertemuan strategik untuk menyusun masa depan gabungan.

Adakah Hadi Awang tidak bersetuju dengan hala tuju perbincangan? Atau adakah beliau mahu mengekalkan jarak politik dengan Muhyiddin selepas perubahan struktur kepimpinan PN?

Jika PAS benar-benar komited kepada semangat setia kawan yang dilaungkan, kehadiran presidennya adalah isyarat paling minimum yang sepatutnya diberikan. Ketiadaan itu, sama ada disengajakan atau tidak memberi gambaran bahawa ada perkara besar yang masih belum selesai.

Kenyataan dari Punithan, “kita akan jumpa dan berbincang dengan PAS” seolah-olah meletakkan PAS sebagai pihak yang perlu dipujuk bukan rakan setara yang duduk semeja.

Malah apabila Punithan mengatakan “stabil” atau “tiada isu”, ramai yang elihat ada perkara yang kekal ‘tidak beres’.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)