Tiga pertemuan penting berlaku di kediaman Muhyiddin Yassin sebaik beliau pulang daripada percutian mewah di beberapa negara termasuk Dubai dan London. Namun yang lebih menarik perhatian bukan siapa yang hadir tetapi siapa yang tidak dijemput. Dalam ketiga-tiga pertemuan itu, nama Hamzah Zainuddin langsung tidak kelihatan, walaupun beliau adalah Timbalan Presiden Bersatu dan figura yang selama ini dipromosikan PAS sebagai Ketua Pembangkang dan calon berpotensi Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pertemuan pertama menyaksikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, hadir bersendirian. Pertemuan kedua pula lebih signifikan apabila Mursyidul Am PAS sendiri datang bertemu Muhyiddin dan semalam, rombongan PAS yang diketuai Presiden PAS, Hadi Awang pula muncul. Tiga pertemuan dan tiga-tiganya tanpa Hamzah tetapi dalam dua pertemuan Azmin Ali ada.
Jika benar PAS masih menganggap Hamzah sebagai aset utama PN, mengapa beliau tidak dilibatkan langsung dalam pertemuan-pertemuan strategik ini? Adakah Hamzah mungkin tidak lagi berada dalam pelan sebenar PAS?
Sebelum ini, PAS dilihat paling kuat mempromosikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang yang lebih “diterima” berbanding Muhyiddin. Malah, terdapat ura-ura bahawa Hamzah adalah calon utama Pengerusi PN jika berlaku peralihan kuasa. Namun perkembangan terkini memberi gambaran sebaliknya, PAS kini kelihatan lebih selesa berurusan terus dengan Muhyiddin tanpa perantara, tanpa wakil dan tanpa Timbalan Presiden Bersatu itu.
Apakah PAS sebenarnya datang untuk memujuk Muhyiddin agar kekal atau datang membawa mesej bahawa masa beliau sudah hampir tamat? Jika tujuan hanya untuk memujuk, mengapa perlu tiga pertemuan berasingan dengan lapisan kepimpinan PAS yang berbeza? Jika sekadar perbincangan biasa, mengapa Hamzah diketepikan sepenuhnya?
Tidak mustahil, pertemuan-pertemuan ini adalah usaha PAS untuk menyusun semula hierarki kuasa dalam PN termasuk kemungkinan mempersembahkan nama baharu dari PAS sendiri sebagai pengganti Muhyiddin dan Hamzah akan ditukar dari kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang?

