Naratif berubah bila kuasa berada di tangan. Kenyataan pemimpin PAS ketika memegang tampuk kerajaan negeri kini kembali menghantui parti itu sendiri khususnya dalam isu ladang babi yang sering dijadikan bahan retorik ketika PAS berada di blok pembangkang.
Tular kembali kenyataan yang satu ketika dulu di buat oleh Razman Zakaria ketika beliau menjawat jawatan ADUN Gunong Semanggol merangkap Exco Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan Perak dari tahun 2020 hingga 2022, satu portfolio yang secara langsung bertanggungjawab terhadap isu penternakan, termasuk ladang babi.
Apabila ditanya media mengenai kemungkinan ladang babi dipindahkan bagi mengatasi isu pencemaran bau dan gangguan penduduk, jawapan Razman ketika itu cukup jelas:
“Untuk mengelakkan bau ini… dia (penternak babi) telah pun membuat pelaburan lebih daripada berjuta-juta. Nanti kita tengok bagi pihak kerajaan negeri sebab kita sebagai kerajaan ni kita kena tengok semua pihak.”
Tiada retorik agama. Tiada slogan perjuangan. Tiada laungan moral, yang ada hanyalah bahasa realiti kuasa iaitu pelaburan jutaan ringgit, kepentingan ekonomi dan keperluan “melihat semua pihak”.
Inilah wajah sebenar PAS apabila menjadi kerajaan. Prinsip yang lantang di pentas ceramah bertukar menjadi kompromi di meja pentadbiran.
Jika jawapan ini dianggap munasabah ketika PAS memerintah, mengapa isu yang sama diangkat sebagai senjata politik apabila PAS berada di luar kuasa? Adakah hukum dan prinsip berubah mengikut posisi pembangkang atau kerajaan?
Bahkan pemimpin PAS dari Kelantan sanggup datang ke Selangor semata-mata untuk membuat kenyataan media khas kononnya menjadi hero dalam isu babi di Selangor.
Rakyat tidak menolak realiti tadbir urus. Semua faham kerajaan perlu menimbang pelbagai kepentingan tetapi kemunafikan politik bermula apabila pendirian berubah-ubah. Bila berada di luar, isu ladang babi dijadikan modal kemarahan. Bila berada di dalam, ia dirasionalkan atas nama pelaburan dan keseimbangan. Di Kelantan, pemimpin PAS tidak pula ke rumah yang mana air bersih untuk kegunaan rakyat bertukar menjadi warna ‘teh’ dan membuat sidang video di sana?

