Isu Orang Asli Terengganu: Siapa Reka Cerita Mereka Dari Pahang?

Melaka Digest
By -
0

Kebenaran akhirnya terus menyingkap satu demi satu naratif palsu yang cuba mengelirukan rakyat berhubung isu Orang Asli Bukit Bauk, Dungun. Kali ini, suara yang tampil bukan calang-calang, bekas Profesor Antropologi Sosial Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ramle Abdullah yang mempunyai latar akademik dan kepakaran langsung dalam kajian masyarakat Orang Asli.


Pandangan Prof. Ramle secara tuntas mematahkan dakwaan tidak berasas bahawa Orang Asli di Bukit Bauk “diimport” dari Pahang.

Pertama, Prof. Ramle menegaskan bahawa Orang Asli tersebut berasal dari Sungai Pergam, Kemaman, mereka adalah rakyat Terengganu bukan orang luar. Kenyataan ini menafikan fitnah pihak tertentu yang cuba memadamkan status kewarganegaraan dan hak mereka dengan naratif palsu. Hakikat ini selari dengan pendedahan awal bahawa mereka adalah komuniti Orang Asli dari Hulu Kemaman.

Kedua, kehadiran mereka di Bukit Bauk bukan atas agenda politik tetapi atas keperluan hidup dan mencari rezeki. Laporan rasmi Bernama merekodkan bahawa mereka telah berada di kawasan tersebut sejak tahun 2016. Fakta ini membongkar dakwaan liar kononnya komuniti ini “dibawa masuk” oleh mana-mana parti politik. Ia bukan sahaja tidak benar, malah mencemarkan maruah komuniti terpinggir demi menutup kegagalan pengurusan isu di peringkat negeri.

Ketiga, Prof. Ramle turut menyokong pendekatan berperikemanusiaan bahawa rumah-rumah yang dibina oleh NGO tidak wajar dirobohkan. Sebaliknya, rumah tersebut boleh dipindahkan ke kampung asal mereka. Inilah solusi praktikal dan berbelas ihsan yang telah lama disuarakan iaitu jangan usir, jangan paksa roboh tetapi bantu dan pindahkan.

Isu ini hakikatnya bukan soal politik, bukan soal menang-kalah naratif. Ia adalah soal belas ihsan kerajaan terhadap rakyat sendiri. Sedikit peruntukan untuk memindahkan kediaman dan mengurus penempatan semula adalah harga kecil berbanding penderitaan yang ditanggung komuniti ini jika diusir tanpa solusi.

Adakah Kerajaan Terengganu memilih jalan empati dan penyelesaian atau terus mempertahankan propaganda untuk menutup kelemahan?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)