Lemahnya Ketua Penerangan PAS Membaca Ucapan Zahid di Multaqa Ilmuwan Islam

Melaka Digest
By -
0

Ucapan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sepatutnya dibaca dalam kerangka wacana politik dan sejarah bukan ditarik keluar konteks lalu diputar menjadi naratif emosi. Malangnya, di sinilah kelemahan Ketua Penerangan PAS, YB Fadhil Saari terserlah, beliau gagal membezakan antara hujah bersifat retrospektif dengan realiti politik semasa.

Presiden UMNO itu berhujah bahawa PAS sepatutnya “terbubar” sekiranya UMNO benar-benar menukar dasar kepada Islam dengan memetik kata-kata Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenyataan tersebut bukanlah ancaman, bukan juga fatwa politik tetapi rujukan kepada satu konteks Sejarah yang lahir pada zaman dan situasi yang berbeza.

Namun Ketua Penerangan PAS memilih untuk mengambil petikan itu secara literal, seolah-olah ia kenyataan mutlak yang terpisah daripada masa dan realiti semasa. Ini bukan sahaja cetek dari sudut kefahaman politik, malah memperlihatkan kegagalan memahami asas hujah yang dibawa Zahid.

Lebih menarik, dalam respons balasnya beliau sendiri mengakui bahawa ucapan Zahid itu tidak perlu diambil terlalu serius kerana “setiap kata-kata sesuai dengan zamannya”. Jika begitu, mengapa isu ini diangkat secara beremosi dan dijadikan bahan serangan? Di sinilah kontradiksi pemikiran Ketua Penerangan PAS menjadi jelas.

Ironinya, beliau kemudian mengangkat pula ucapan lama Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015 yang menyebut Melayu akan menjadi “bangsat” jika UMNO kalah. UMNO telah kalah pada 2018 dan gagal memperoleh mandat pada 2022, namun adakah realiti hari ini membuktikan Melayu benar-benar menjadi “bangsat” seperti yang didakwa?

Jika jawapannya tidak, maka jelaslah bahawa ucapan politik lama tidak boleh dijadikan hujah mutlak untuk menilai realiti semasa hujah yang sama digunakan untuk menolak kenyataan Zahid. Di sinilah kelemahan logik Ketua Penerangan PAS iaitu menggunakan standard berbeza untuk isu yang serupa.

Lebih memalukan, beliau cuba membandingkan ucapan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz yang tidak pernah bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah politik Zahid Hamidi yang kononnya tidak akan bersama Anwar Ibrahim dan DAP. Perbandingan ini bukan sahaja tidak seimbang, malah mengelirukan. Isu sebenar bukan sumpah tetapi keanjalan kuasa politik yang sentiasa berubah mengikut realiti semasa.

UMNO hari ini berada dalam kerajaan dan mempunyai kuasa untuk mengubah dasar pada bila-bila masa. PAS pula tidak berada dalam kedudukan tersebut. Maka logiknya, adalah lebih rasional untuk PAS terus kekal sebagai entiti politik sendiri bukan kerana UMNO gagal atau berdosa tetapi kerana ekosistem politik menuntut keseimbangan kuasa.

Tidak ada siapa yang mendoakan UMNO bubar. UMNO masih punya kekuatan, sejarah dan sumbangan yang diperlukan negara tetapi untuk menyimpulkan bahawa PAS harus “terbubar” hanya kerana satu rujukan sejarah yang diungkit kembali, adalah satu kefahaman politik yang dangkal.

Akhirnya, dalam dunia politik seperti juga dalam kehidupan tiada yang kekal selain Allah dan dalam isu ini yang paling jelas kekal ialah kelemahan Ketua Penerangan PAS dalam membaca makna sebenar ucapan Zahid, salah tafsir, salah hujah dan tersasar daripada realiti.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)