Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dilihat seolah-olah menjadi bahan permainan politik oleh segelintir individu yang digelar sebagai broker politik. Demi meraih populariti murahan, institusi penting negara dijadikan modal ceramah, bahan “sidang media gempak” serta kandungan sensasi di platform media sosial kumpulan masing-masing.
Antara yang paling mencetuskan tanda tanya ialah tindakan seorang individu, dikenali sebagai Mansur Bhai yang secara terbuka mendakwa pernah menerima sogokan ratusan ribu ringgit kononnya untuk menjatuhkan seseorang. Namun, dakwaan berat itu dibuat tanpa disertakan sebarang bukti konkrit, tiada resit, tiada rekod transaksi, tiada money trail malah sekeping wang RM1 pun tidak ditunjukkan sebagai sandaran.
Lebih mengundang sinis, apabila ditanya tentang bukti, alasan yang diberikan amat mengejutkan ialah 'wang sogokan' tersebut dikatakan sudah habis dibelanjakan. Persoalannya, apakah logik dan kewarasan di sebalik alasan ini? Dalam tempoh tidak sampai sebulan, wang berjumlah ratusan ribu ringgit kononnya “lesap” dibelanjakan tanpa sebarang jejak? Dakwaan sebegini bukan sahaja mencabar akal, malah mencemarkan kredibiliti SPRM apabila institusi itu seolah-olah diperalatkan sebagai latar cerita sensasi politik.
Tidak terhenti di situ, isu skandal rasuah melibatkan ATM pula dijadikan modal ceramah, Hakikatnya yang diperdagangkan bukanlah usaha membanteras rasuah secara bertanggungjawab tetapi naratif yang disusun untuk membina imej diri dan di dalam ceramah mereka seolah-olah suspek yang didakwa telah bersalah.
Lebih membimbangkan, beberapa contoh yang diketengahkan melibatkan dakwaan teknikal dan spesifik seperti aset ketenteraan yang kononnya tidak mengikut spesifikasi tertentu?
Pendedahan bersifat spekulatif dan tidak disahkan ini berpotensi memberi gambaran salah tentang keupayaan pertahanan negara. Jika maklumat yang dicanang tidak tepat dan sekadar sensasi, ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh mengancam keselamatan serta integriti sistem pertahanan negara.
Isunya di sini bukan menafikan kewujudan rasuah atau keperluan pendedahan tetapi cara ia dibawa. Membanteras rasuah menuntut bukti, disiplin dan tanggungjawab bukannya laungan berulang di pentas ceramah demi perhatian dan sorakan. SPRM dan ATM bukan alat propaganda politik dan rahsia serta imej institusi negara tidak wajar dijadikan bahan bakar populariti peribadi.
Mengejar publisiti dengan mempermainkan nama institusi negara adalah satu garis bahaya. Jika budaya ini dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan kepercayaan awam malah membuka ruang kepada manipulasi maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.