Penahanan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bukan sekadar isu perundangan biasa. Ia mencetuskan persoalan yang jauh lebih besar dan mendalam tentang keadilan, kesaksamaan serta konsistensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia. Tindakan ini membuka ruang perbahasan awam mengenai sama ada prinsip kedaulatan undang-undang benar-benar dilaksanakan secara adil atau sekadar berlegar dalam wacana rasmi.
Rex Tan ditahan susulan satu soalan yang dikatakan berunsur perkauman semasa sebuah syarahan awam bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” di Kuala Lumpur, yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway. Beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum ditahan selepas tengah malam hanya sehari selepas meletakkan jawatan daripada FMT. Lebih signifikan, siasatan dikendalikan oleh pihak Bukit Aman, satu petunjuk bahawa kes ini dianggap serius oleh pihak berkuasa.
Namun polemik sebenar bukan terletak pada satu soalan yang dibangkitkan dalam forum terbuka tetapi pada persoalan mengapa undang-undang kelihatan dikuatkuasakan secara terpilih. Jika satu soalan boleh membawa kepada penahanan di bawah Akta Hasutan maka rakyat berhak bertanya: mengapa individu tertentu yang secara terbuka dan berulang kali menuduh Malaysia sebagai negara yang menindas kaum dan agama tertentu tidak pernah dikenakan tindakan yang sama?
Nama P. Waytha Moorthy sering dikaitkan dengan naratif bahawa kaum India dan penganut Hindu di Malaysia kononnya ditindas secara sistematik. Tuduhan sebegini bukan sekadar kritikan dasar tetapi telah dibawa ke peringkat antarabangsa sehingga membentuk persepsi negatif terhadap negara. Ia mencalar imej Malaysia, menggugat keharmonian masyarakat majmuk dan berpotensi menyemarakkan ketegangan kaum. Namun sehingga kini, tiada tindakan undang-undang tegas diambil terhadap beliau di bawah peruntukan yang sama sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang keseragaman penguatkuasaan.
Situasi ini mewujudkan persepsi wujudnya dua standard dalam sistem keadilan negara. Seorang wartawan boleh ditahan kerana mengemukakan soalan dalam wacana awam manakala seorang tokoh politik yang mengeluarkan tuduhan berat terhadap negara seolah-olah menikmati kekebalan. Jika Akta Hasutan diwujudkan untuk menjaga keharmonian dan keselamatan negara maka prinsip tersebut seharusnya terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang politik.
Lebih membimbangkan, kes ini menghantar isyarat yang meresahkan kepada dunia kewartawanan dan kebebasan bersuara. Apabila soalan dianggap sebagai ancaman tetapi naratif yang lebih keras dan berunsur hasutan dibiarkan tanpa tindakan, kebebasan bersuara menjadi sesuatu yang bersyarat dan selektif. Malaysia berisiko dilihat sebagai negara yang tegas terhadap individu tertentu tetapi longgar terhadap pihak lain yang membawa agenda pemecahan kaum.
Akhirnya, isu ini bukan semata-mata tentang mempertahankan Rex Tan atau menyerang mana-mana individu. Ia menyentuh kredibiliti keseluruhan sistem undang-undang negara. Undang-undang tidak boleh menjadi alat pilih kasih, wartawan tidak seharusnya dijadikan sasaran mudah dan tokoh politik tidak boleh berada di atas undang-undang. Jika keadaan ini berterusan, penahanan ini akan dikenang sebagai satu lagi episod penguatkuasaan terpilih yang menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia.
