PAS Tolak Kolaborasi Agung UMNO: Alasan Dangkal

Melaka Digest
By -
0

PAS sekali lagi menolak cadangan Kolaborasi Agung bersama UMNO dengan alasan perjuangan Islam yang kononnya tidak boleh dikompromi. Menurut naratif pimpinan PAS, kerjasama itu tidak selari dengan prinsip meletakkan Islam sebagai al-din yang mesti berkuasa dan memerintah bukan sekadar simbol atau slogan politik. Perlembagaan PAS kata mereka, mengangkat hukum Islam sebagai yang tertinggi dan menolak sebarang ideologi selain Islam.


Kenyataan ini kedengaran indah. Namun persoalan yang gagal dijawab ialah apakah hasil sebenar selepas lebih 40 tahun PAS memerintah Kelantan?

Jika benar Islam telah “berkuasa dan memerintah”, mengapa hukum Islam masih gagal ditegakkan secara menyeluruh? Mengapa rakyat masih melihat jurang besar antara retorik perjuangan dan realiti pentadbiran? Terlalu banyak kes yang perlu dihukum dengan hukuman Islam tetapi tidak dilaksanakan di sana?

PAS sering mengulang naratif bahawa mereka terhalang oleh Perlembagaan Persekutuan, kuasa terhad negeri dan penentangan pihak lain termasuk DAP dan kelompok Melayu tertentu ketika membawa usul pindaan Akta 355. Namun alasan yang sama diulang selama beberapa dekad, seolah-olah kegagalan mentadbir boleh dipadam hanya dengan menyalahkan pihak luar. Namun apabila PAS menjadi sebahagian dari kerajaan Persekutuan, sepatah pun tidak berbunyi untuk laksanakan hukum Islam.

Dalam tempoh panjang pemerintahan PAS di Kelantan, isu asas seperti pembangunan masjid sendiri PAS nampak sangat gagal. Masjid yang sepatutnya menjadi lambang kekuatan Islam bukan sahaja gagal disiapkan, malah terpaksa diselamatkan dan disiapkan ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak di peringkat Persekutuan. Ini bukan persepsi tetapi fakta sejarah yang tidak boleh dipadam dengan tulisan ideologi.

PAS juga gemar berhujah bahawa negara Islam di seluruh dunia terperangkap dengan sistem warisan penjajah yang memisahkan Islam daripada politik dan pemerintahan. Namun jika PAS sendiri tidak mampu menunjukkan contoh pentadbiran Islam yang berjaya di negeri yang dikuasai sepenuhnya, bagaimana rakyat mahu diyakinkan di peringkat nasional?

Menolak Kolaborasi Agung UMNO atas nama kesucian perjuangan Islam mungkin kelihatan berprinsip tetapi ia semakin kelihatan seperti pelarian daripada kegagalan sendiri. Islam yang diperjuangkan PAS terlalu banyak di atas kertas dan mimbar tetapi terlalu sedikit yang benar-benar dirasai rakyat melalui tadbir urus, pembangunan dan kesejahteraan hidup. Masalah air bersih untuk kegunaan rakyat pun PAS gagal tangani, Islamkah itu?

Rakyat bukan menilai Islam melalui slogan “Islam memerintah” tetapi melalui hasil pentadbiran dan selepas lebih empat dekad, rekod PAS di Kelantan masih gagal membuktikan bahawa retorik perjuangan itu benar-benar diterjemahkan menjadi Islam yang berfungsi, berdaya saing dan membela rakyat.

Islam tidak runtuh kerana kolaborasi politik. Islam runtuh apabila ia dijadikan alasan untuk menutup kegagalan sendiri.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)