Sehari dua ini pasukan siber truper pro PAS mula mainkan kembali isu Memali dan Amanat Hadi dengan naratif memesonhkan fakta.
Sejarah tidak boleh dipetik separuh dan dipusing mengikut selera politik semasa. Tragedi Memali, Amanat Hadi sembahyang dua imam, cerai-berai suami isteri, perpecahan ahli keluarga, tidak makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya bukan episod terasing sebaliknya satu rangkaian pemikiran ‘politik-agama’ yang kesannya masih dirasai hingga hari ini. Cubaan membersihkan imej dengan menukar istilah atau menyalahkan pihak lain tidak akan mengubah fakta Sejarah malang PAS yang telah direkodkan.
Tragedi Memali bukan sekadar isu keselamatan atau salah faham operasi. Ia berpunca daripada iklim takfiri yang subur akibat Amanat Hadi yang secara jelas membahagikan masyarakat kepada “Islam sebenar” dan “Islam jahiliah”.
Amanat ini bukan dongeng ciptaan musuh politik tetapi teks yang diakui, direkod dan disebarkan sendiri. Kesan amanat inilah yang melahirkan sikap ‘melawan negara’, ‘menghalalkan perpecahan jemaah’ dan menganggap kematian sebagai syahid atas dasar politik.
Apabila hari ini Amanat Hadi cuba dikecilkan dengan alasan “uruf zaman”, persoalan yang timbul adalah jika ia sekadar produk konteks lama, mengapa kesannya begitu mendalam sehingga memecahkan masyarakat Melayu-Islam selama puluhan tahun?
Mengapa perpecahan masjid, kafir-mengkafir dan permusuhan sesama Islam masih berbekas hingga kini?
Sejarah membuktikan ia bukan kesilapan kecil tetapi kesalahan besar yang tidak pernah ditebus secara jujur.
Dalam Islam, kesilapan besar yang membawa mudarat kepada umat tidak boleh ditebus dengan menukar istilah tetapi dengan pengakuan, taubat dan pembetulan terbuka. Namun sehingga hari ini, tiada permohonan maaf rasmi kepada keluarga mangsa Memali dan umat Islam yang terkesan akibat doktrin sesat tersebut.
Cubaan mengaitkan Memali semata-mata dengan tindakan kerajaan pada waktu itu juga satu bentuk pemutihan sejarah. Tanpa naratif takfiri yang menyemai kebencian terhadap negara dan pemimpin, tragedi itu tidak akan sampai ke tahap pertumpahan darah. Menyalahkan satu pihak sambil menafikan peranan ideologi sendiri adalah tidak jujur.
Lebih membimbangkan, pendekatan yang sama masih digunakan hari ini dengan mengangkat Islam sebagai perisai politik tetapi gagal mempamerkan keupayaan mentadbir secara matang dan menyatukan umat. Sejarah sepatutnya menjadi pengajaran, bukan alat propaganda. Jika benar perjuangan Islam mahu dimartabatkan, kebenaran mesti didahulukan walaupun pahit untuk ditelan.

