PAU2025: Kenapa Saya Jemput Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah MARA-Asyraf Wajdi

Melaka Digest
By -
0


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Asyraf Wajdi memulakan Perhimpunan Agung UMNO 2025 dengan menerangkan kenapa beliau sebagai Pengerusi MARA menjemput Ketua Pengarah MARA dan Timbalan Pengarah hadir sebagai tetamu terhormat di PAU2025.

Menurut Asyraf ianya supaya kepimpinan MARA sentiasa ingat bahawa MARA lahir dari rahim UMNO.

UMNO sudah berusia 79 tahun dan MARA 59 tahun. Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan pada 1 Mac 1966. Sehingga hari ini, 16 Januari 2026, umur MARA ialah 59 tahun, dan akan genap 60 tahun pada 1 Mac 2026.


UCAPAN SETIAUSAHA AGUNG UMNO
DATUK WIRA DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ DUSUKI
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2025

Bismillahirrahmanirrahim.

Sang saka bangsa kembali dijulang, tanda UMNO mula bersidang. Berbeza pandangan bukan penghalang, rapatkan saf setia berjuang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillāh, segala puji bagi Allah SWT. Dengan izin dan rahmat-Nya, kita kembali berhimpun di Dewan Merdeka ini dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025, bukan sekadar sebagai sebuah parti politik, tetapi sebagai sebuah institusi perjuangan yang menggalas amanah besar membela agama, bangsa dan tanah air.

Saya menghulurkan salam ukhuwah dan setulusnya mengucapkan selamat datang kepada semua dif-dif kehormat, para jemputan khas, rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN, serta para perwakilan dan pemerhati dari seluruh pelosok negara yang hadir dengan satu tekad—menguatkan UMNO dan memelihara perjuangannya.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Persidangan kali ini berlangsung dalam suasana penuh hiba apabila kita kehilangan dua tokoh besar perjuangan bangsa. Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, negarawan berjiwa besar yang memartabatkan pembangunan modal insan, dan Allahyarham Dato’ Seri Panglima Bung Moktar Radin, pahlawan dari bumi di bawah bayu yang setia mempertahankan UMNO ketika parti ini ditekan, diuji dan dipalit fitnah. Saat ramai berpaling, merekalah yang kekal berdiri. Ibarat retak seribu boleh ditampal, patah satu sukar diganti. Mereka adalah as-sadiq waqtad-dhiq—sahabat sejati di saat susah. Marilah kita hadiahkan bacaan Al-Fatihah sebagai tanda hormat dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Al-Fatihah.

Sidang perwakilan sekalian,

Izinkan saya melaporkan bahawa seramai 6,412 perwakilan merangkumi Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hadir sepanjang persidangan ini. Kehadiran ini bukan sekadar angka, tetapi satu amanah untuk kita bermusyawarah dengan tertib, berbeza dengan beradab dan akhirnya keluar sebagai satu saf UMNO yang bersatu.

Sebagai Setiausaha Agung UMNO, pada hari ini saya memilih untuk bercakap dengan jujur dan berterus terang. Kita sering berbangga dengan pertambahan keahlian parti. Namun realiti yang mesti kita hadapi ialah angka keahlian tidak semestinya menjamin kemenangan pilihan raya. Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi ‘wake-up call’ terbesar. Dengan lebih 622,000 ahli, undi yang diterima hanyalah sekitar 144,000. Pengajarannya jelas—ahli tidak semestinya pengundi, dan pengundi tidak semestinya setia.

Sejarah politik Sabah mencatat tiga gelombang penghijrahan besar—2016, 2018 dan 2023—yang sedikit demi sedikit menghakis kekuatan UMNO. Trend ini tidak terhenti di Sabah sahaja. Dalam PRU13, PRU14 dan PRU15, pola yang sama berulang. Menjelang PRN Melaka, Johor dan seterusnya PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur: adakah pertambahan puluhan ribu ahli benar-benar diterjemahkan kepada sokongan di peti undi?

Inilah realiti politik hari ini. Kesetiaan tidak lagi automatik. Apabila kepentingan peribadi mengatasi prinsip, dan nafsu mengatasi amanah, maka nusrah Allah akan ditarik walaupun kita ramai di atas kertas. Allah SWT telah mengingatkan kita dalam Surah At-Taubah ayat 25, bahawa bilangan yang ramai tidak memberi makna jika kita lalai dan takbur.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Perhimpunan Agung ini adalah medan muhasabah, bukan medan menyalakan api perpecahan. Kita tidak mampu mengawal orang lain, tetapi kita mampu mengawal diri, mengurus parti dan memimpin hala tuju perjuangan. UMNO telah melalui badai paling dahsyat. Kita pernah melihat bagaimana perbezaan pandangan yang gagal diurus dengan hikmah akhirnya melahirkan luka panjang.

Namun hari ini, ketika lawan sibuk berpecah, UMNO masih berdiri kerana satu kekuatan utama—kesetiaan kepada kepimpinan Presiden dan institusi parti. Kesetiaan inilah benteng senyap yang memastikan UMNO terus relevan dan dihormati. Persoalannya, adakah kita mahu mempertahankan benteng ini, atau kita sendiri yang membuka ruang kepada suara luar untuk melemahkan kesatuan yang telah kita bina?

Sidang perwakilan sekalian,

Ada pihak menabur naratif kononnya Islam terancam dan Melayu dihina. Hakikatnya, pemimpin UMNOlah yang konsisten mempertahankan Islam, Melayu, Bumiputera dan Raja-Raja Melayu dalam kerangka Kerajaan Perpaduan. Lihatlah hasilnya—di Melaka, Johor, Perak, Pahang dan di peringkat Persekutuan. Pelaburan melonjak, syiar Islam diperkukuh, kedaulatan negara dipertahankan, hak Melayu bandar dibela, pertahanan negara diperkasa dan diplomasi Malaysia dihormati dunia.

Dan jangan kita lupa jasa besar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang meletakkan UMNO sebagai parti teras kerajaan melalui agenda TVET, pendidikan tahfiz, pembangunan luar bandar dan ekonomi rakyat. Inilah pelaburan strategik UMNO untuk generasi masa depan.

Dalam kebingitan politik hari ini, janganlah kita menari mengikut rentak orang lain. UMNO punya lagu sendiri—lagu perjuangan yang lebih besar maknanya. Nyanyikan kepada rakyat kerja buat kita, dendangkan pencapaian kita, dan pastikan rentak kita hanya satu—demi agama, bangsa dan negara.

Sidang perwakilan yang dihormati,

Gunakanlah ruang Perhimpunan Agung ini untuk berbahas dengan matang, berhujah dengan berhemah dan berbeza dengan beradab. Tetapi setelah kita melangkah keluar dari dewan ini, kita mesti keluar sebagai satu saf UMNO—bersatu pada keputusan dan berdisiplin dalam tindakan.

Selagi kita berpaut kepada akar perjuangan yang satu, UMNO akan kekal sebagai perisai rakyat. Perjuangan ini tidak bermula dengan kita dan tidak akan berakhir dengan kita. Sejarah belum menutup bukunya, dan UMNO belum melipat benderanya.

Tatkala bahtera dilanda badai, jangan sampai layarnya patah. Pastikan emosi tidak terbuai, bimbang kemudi tersasar arah. Setia pada nakhoda, kukuhkan jemaah. Insya-Allah, kejayaan wadah pasti tercapai.

Dengan penuh hormat, saya mempersilakan Pengerusi Tetap UMNO untuk mengambil tempat bagi memulakan persidangan.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)