Pengerusi Perikatan Nasional Baharu Dari PAS Bukan Dari Golongan Lebai?

Melaka Digest
By -
0

PAS secara rasmi bersedia mengambil alih tampuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) susulan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa semalam. Peralihan ini menandakan perubahan besar dalam hierarki kuasa PN, sekali gus mengesahkan PAS sebagai parti dominan dalam gabungan tersebut.


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memaklumkan bahawa mesyuarat khas bagi memilih Pengerusi PN yang baharu akan diadakan dalam masa terdekat. Namun satu perkara ditegaskan dengan jelas bahawa jawatan itu tidak lagi akan diisi oleh pemimpin daripada BERSATU.

Menurut beliau, pengerusi baharu PN akan dipilih daripada kalangan pimpinan tertinggi PAS dan perkara tersebut akan dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“PAS mempunyai ramai calon yang berkaliber termasuk ahli politik dan kalangan teknokrat,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang.

Kenyataan ini, walaupun kedengaran biasa sebenarnya membuka ruang persoalan terhadap identiti politik PAS sendiri. Selama puluhan tahun, PAS berpegang teguh kepada slogan dan falsafah “kepimpinan melalui ulama”, suatu doktrin yang meletakkan keilmuan agama, kewarakan dan autoriti syariah sebagai teras kepimpinan.

Namun dalam menyenaraikan calon pengerusi PN, Hadi Awang memilih untuk menekankan ahli politik dan teknokrat, bukannya tokoh ulama paling alim atau berautoriti dalam parti. Ke manakah hilangnya naratif ulama sebagai pemimpin tertinggi apabila kuasa nasional menjadi taruhan?

Ketiadaan sebarang sebutan tentang “calon paling alim” atau tokoh ulama kanan yang benar-benar mencerminkan idealisme kepimpinan Islam memperlihatkan satu paradoks besar dalam PAS hari ini.

Ketika berada dalam zon dakwah dan tarbiyah, ulama diangkat sebagai simbol mutlak. Namun apabila sampai ke medan kuasa dan rundingan politik peringkat nasional, kriteria itu seolah-olah diketepikan, digantikan dengan kebolehan teknokratik dan kebijaksanaan politik semata-mata. Rendah sangat kedudukan ilmuan agama?

Apabila ditanya sama ada beliau sendiri bersedia menerajui PN, Abdul Hadi menjelaskan bahawa faktor kesihatan menjadi kekangan utama. Namun beliau tidak menolak kemungkinan tersebut dan menegaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat dalam mesyuarat PN.

“Kita dalam keadaan uzur tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu depan dan yang pasti, pengerusi gabungan itu daripada kalangan pemimpin PAS,” katanya.

Kenyataan ini mengukuhkan lagi spekulasi bahawa PAS sedang menyusun strategi kuasa secara berhati-hati, bukan semata-mata berdasarkan prinsip ideologi tetapi juga realiti politik dan kebolehan mengurus gabungan besar yang sarat dengan konflik dalaman.

Mengulas kemungkinan mesyuarat bersama pimpinan BERSATU, Hadi menegaskan kehadiran mereka adalah terpulang kepada parti berkenaan, termasuk pemimpin yang telah melepaskan jawatan. Walaupun begitu, beliau menegaskan hubungan PAS dan BERSATU masih berada dalam keadaan baik, meskipun beberapa pemimpin PN di peringkat negeri turut mengambil langkah berundur.

Dalam isu dalaman PAS pula, Abdul Hadi mengesahkan tindakan menggugurkan keahlian tiga wakil rakyat PAS yang didakwa menandatangani Aku Janji Berkanun (SD) tidak menyokong kepimpinan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah dilaksanakan. Berdasarkan perlembagaan negeri, ketiga-tiga individu tersebut perlu digugurkan daripada jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Peralihan kepimpinan PN kepada PAS bukan sekadar pertukaran nama dan jawatan tetapi mendedahkan dilema identiti yang semakin ketara. PAS kini berdepan persoalan, adakah parti itu benar-benar masih berpegang kepada prinsip kepimpinan melalui ulama atau slogan tersebut hanya kekal sebagai retorik ketika berhadapan dengan akar umbi, sementara realiti kuasa menuntut pendekatan politik dan teknokratik semata-mata?

Jawapan kepada persoalan ini bakal menentukan bukan sahaja hala tuju PN tetapi juga kredibiliti PAS sebagai parti yang selama ini mendakwa berpolitik atas landasan prinsip, bukan semata-mata kuasa.
 

Penyokong Sanusi sedang galak mempromosikan beliau sebagai pengganti Muhyiddin.
 
"Kita nak pilih Pengerusi bukannya nak pilih penceramah.." kata penyokong Muhyiddin
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)