Pengerusi PN: Alasan Hadi Awang Tidak Masuk Akal

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung kemungkinan beliau menerajui jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan persoalan besar tentang konsistensi dan kejujuran naratif kepimpinan parti itu.


Ketika diajukan soalan oleh wartawan sama ada beliau bersedia menjadi Pengerusi PN, Abdul Hadi menjawab tanpa ragu bahawa beliau berada dalam keadaan uzur. Jawapan ringkas itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa faktor kesihatan menjadi halangan utama untuk memikul tanggungjawab sebagai peneraju tertinggi gabungan politik nasional.

Namun, pengakuan tersebut membuka persoalan yang sukar dielakkan, jika benar uzur sehingga tidak mampu memimpin PN, mengapa beliau masih kekal memegang jawatan Presiden PAS? Jawatan presiden parti bukan sahaja melibatkan urusan dalaman, malah menentukan halatuju ideologi, strategi pilihan raya dan keputusan politik utama, tanggungjawab yang tidak kurang beratnya berbanding memimpin sebuah gabungan.

Percanggahan inilah yang menjadikan alasan keuzuran dilihat tidak sepenuhnya munasabah atau sekurang-kurangnya bersifat selektif mengikut keperluan politik semasa.

Situasi ini menjadi lebih menarik apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, secara terbuka menolak cadangan dirinya sebagai Pengerusi PN dan sebaliknya mencadangkan nama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar. Cadangan tersebut mengundang persoalan, Sanusi dan kepimpinan utama PAS langsung tidak menyebut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sedangkan parti itu selama ini mengangkat slogan “kepimpinan melalui ulama” sebagai teras perjuangan. Malah PAS mempunyai ramai pemimpin bertaraf ‘alim’, berpendidikan agama tinggi dan berpengalaman luas dalam kepimpinan politik.

Ketiadaan sebarang sebutan terhadap calon ‘ulama’ memperlihatkan hakikat yang semakin sukar disangkal bahawa dalam soal perebutan kuasa dan jawatan strategik, kriteria keulamaan bukan lagi faktor utama. Sebaliknya, keupayaan politik, pengaruh pentadbiran dan kebolehan teknokratik dilihat lebih diutamakan.

Fenomena ini menguatkan tanggapan bahawa wujud kumpulan dalam PAS yang tidak sepenuhnya bergerak seiring dengan naratif kepimpinan ulama, walaupun slogan itu terus diulang dalam ceramah dan kempen akar umbi. Ia mendedahkan jurang antara idealisme yang dilaungkan dan realiti kuasa yang diamalkan.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)