Walaupun secara rasmi tidak lagi memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin terus bercakap dan beraksi seolah-olah beliau masih figura utama gabungan itu. Gaya kepimpinan, pilihan kata dan nada pesanan Tahun Baharu 2026 yang disampaikan jelas memperlihatkan bahawa Muhyiddin sukar melepaskan watak sebagai “bos besar” PN, meskipun realiti kuasa sudah berubah.
Dalam pesanan sempena Tahun Baharu, Muhyiddin menyeru seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup segala ruang perpecahan. Pada zahirnya, ia kedengaran seperti nasihat seorang presiden parti. Namun pada lapisan lebih dalam, mesej itu membawa gema seorang pengerusi gabungan, seorang tokoh yang terbiasa bercakap kepada keseluruhan ekosistem PN bukan sekadar ahli BERSATU.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau masih menerajui BERSATU sebagai Presiden. Penegasan ini penting, seolah-olah mahu menutup sebarang spekulasi dalaman tetapi pada masa sama ia memperlihatkan kegelisahan politik di mana kedudukannya dalam PN mungkin telah terhakis, namun cengkamannya dalam BERSATU mesti kekal utuh. Baca apa kata PAS di SINI.
Lebih menarik, beliau menyatakan bahawa walaupun tidak lagi memimpin PN, BERSATU kekal sebagai rakan yang “berprinsip, konsisten dan setia” dalam gabungan tersebut. Frasa ini sarat dengan mesej tersirat. Ia bukan sekadar kenyataan diplomatik, sebaliknya satu peringatan kepada rakan gabungan khususnya PAS bahawa BERSATU masih mahu dilihat sebagai tonggak utama PN, bukan sekadar penumpang atau parti pelengkap.
Namun realiti politik berkata sebaliknya. Selepas krisis Perlis dan pergeseran terbuka antara PAS dan BERSATU, struktur kuasa dalam PN telah berubah. PAS semakin lantang menuntut peranan dominan, manakala Muhyiddin pula dilihat semakin defensif, walaupun cuba menampilkan wajah tenang dan strategik.
Ungkapan Muhyiddin bahawa “ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang” kononnya sebagai strategi memperkukuh asas parti, kedengaran lebih seperti justifikasi politik daripada perancangan jangka panjang. Ia seakan-akan pengakuan tidak langsung bahawa pengaruhnya sedang menyusut tetapi masih mahu dibingkai sebagai langkah taktikal, bukan kekalahan.
Seruan supaya ahli BERSATU kekal beristiqamah, berdisiplin dan menyelesaikan perbezaan secara tertutup pula mencerminkan kebimbangan sebenar wujudnya retakan dalaman yang semakin sukar dikawal. Apabila pemimpin terlalu kerap menyeru perpaduan, ia biasanya petanda perpecahan sudah pun berlaku.
Pesanan Tahun Baharu 2026 Muhyiddin bukan sekadar ucapan motivasi tetapi satu manifestasi krisis identiti politik. Beliau tidak lagi Pengerusi PN, namun masih bercakap seperti seorang pengerusi. Beliau kononnya berundur selangkah tetapi masih mahu dilihat mengawal papan catur politik.
Dalam politik, gaya bercakap sering mendedahkan realiti sebenar kuasa dan dalam kes Muhyiddin, mesejnya jelas, jawatan boleh dilepaskan tetapi naluri untuk memimpin PN masih kuat walaupun zaman itu mungkin sudah berlalu.
