Demostrasi: Anwar Mengamuk

Melaka Digest
By -
0



Suatu ketika dahulu, nama Anwar Ibrahim sinonim dengan jeritan pendemo jalanan. Laungan reformasi bergema ketika Anwar berdiri di barisan hadapan demonstrasi jalanan. Namun hari ini, nada itu seolah-olah berubah.


Kenyataan Perdana Menteri yang memberi amaran “tindakan maksimum, tangkap dan humbankan” terhadap pihak yang didakwa mengganggu keselamatan ketika kehadiran tetamu asing mengundang persoalan besar apakah definisi keselamatan kini lebih penting daripada suara rakyat?


Tiada siapa menafikan keperluan menjaga ketenteraman dan maruah negara. Tetapi apabila bahasa ancaman digunakan terhadap kritikan dan perhimpunan, luka lama rakyat kembali berdarah. Ayat-ayat itu bukan sekadar keras malah mengingatkan rakyat kepada era yang pernah ditentang Anwar sendiri.


Ironinya, orang yang suatu ketika diseret, ditumbuk dan dipenjara kerana berdemonstrasi kini berbicara seolah-olah demonstrasi adalah musuh negara.


Rakyat tidak lupa Anwar tidak pernah meminta izin kuasa ketika turun ke jalan dahulu. Ketika itu, demonstrasi Anwar anggap kononnya suara nurani bukan ancaman keselamatan. Kritikan dianggap kewajipan moral bukan hasutan. Mengapa apabila kuasa kini berada di tangan, garis itu berubah?


Lebih meruntun jiwa, kenyataan bahawa rakyat “bukan hakim atau ketua polis” seakan-akan menafikan peranan rakyat sebagai pemilik kedaulatan memandangkan itu pegangan Anwar dahulu. Demokrasi kononya bukan sekadar undi lima tahun sekali. Bagi Anwar ketika itu, ia hidup melalui kritikan, bantahan dan keberanian rakyat menegur pemerintah walaupun pahit didengar kononnya.


Amaran agar “jangan hasut sampai benci satu sama lain” memang wajar. Tetapi bahaya sebenar ialah apabila ketakutan digunakan untuk mendiamkan perbezaan pandangan. Di situlah benih autoritarianisme mula tumbuh, sering kali atas nama keselamatan.


Sejarah mengajar kita satu perkara:

Kuasa tidak merosakkan orang asing, ia menguji prinsip mereka yang pernah dizalimi.


Rakyat tidak meminta kekacauan. Mereka hanya menuntut konsistensi. Jika dahulu jalanan adalah medan perjuangan Anwar, jangan hari ini ia dilabel sebagai pengkhianatan.


Kerana akhirnya, yang benar-benar mengganggu keselamatan negara bukan suara rakyat tetapi apabila pemimpin lupa dari mana mereka datang.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)