Hamzah Berisiko Menjadi Barah

Melaka Digest
By -
0


Seorang pemimpin BERSATU yang ditemui di Parlimen, minggu lalu, dengan lantang menyuarakan pandangan supaya Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada parti.


Menurutnya, selagi BERSATU menyimpan Ketua Pembangkang itu, keberadaannya berisiko menjadi barah yang tidak akhirnya memberi kesan kepada parti kerana perlu mengeluarkan ‘kos’ yang tinggi untuk rawatan dan pemulihan.


“Kalau saya jadi Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah lama saya pecat Datuk Seri Hamzah melalui platform mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi. Tapi Tan Sri Muhyiddin baik sangat. Masih tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya baru-baru ini.


Selain Lembaga Disiplin, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga mempunyai kuasa untuk memecat ahli parti yang dikesan membuat kacau serta melanggar peraturan.


Sebelum ini, BH pernah melaporkan Lembaga Disiplin BERSATU mempunyai asas untuk mengambil tindakan terhadap Hamzah kerana didakwa mengkhianati ‘dasar’ kepada kepimpinan ketika Perhimpunan Agung Tahunan parti itu, September lalu.


Katanya, Hamzah dikatakan hadir dalam pertemuan diatur Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersama beberapa individu dikaitkan dengan kumpulan ‘Akuan Bersumpah’, sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Tahunan 2025.


Ketika berlangsungnya perhimpunan itu, terdapat usul dibawa perwakilan parti yang sepakat mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU.


Pengekalan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai presiden antara tiga usul yang diluluskan selain mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11 dari BERSATU.


Walaupun ketetapan sudah dibuat perwakilan parti, namun jelas kelihatan sekarang ini, wujudnya pergerakan mendesak pengunduran bekas Perdana Menteri itu daripada memimpin BERSATU.


Yang nyata, gerakan itu semakin ligat menggunakan ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi mengeluarkan kenyataan, memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk berundur.


Penulis sendiri kerap menerima mesej bagi menguar-uarkan kenyataan media daripada ketua bahagian yang mahu Muhyiddin berundur.


Timbul beberapa persoalan di sini, iaitu mengapa Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Datuk Mohd Radzi Manan, masih tidak memanggil Hamzah walaupun adanya aduan difailkan terhadap beliau.


Pendekatan Muhyiddin yang masih membisu hingga kini berhubung pergerakan yang didakwa dikaitkan dengan Hamzah bagi menggantikan beliau, mungkin mempunyai asas.


Bimbang semakin rapuh


Muhyiddin yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa bulan lalu, mungkin bimbang pemecatan Hamzah membuatkan BERSATU semakin rapuh.


Ini disebabkan harus diakui Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu mempunyai pengaruh agak kuat dalam parti kerana didakwa ‘memegang’ puluhan ketua bahagian.


Sumber berkata, jika Hamzah dipecat, sekurang-kurangnya 16 Ahli Parlimen yang berada dalam kem beliau dijangka akan setia berada di belakangnya.


Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen BERSATU yang dilihat berada dalam kem Hamzah, iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), sudah diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin, termasuk dipecat keahlian mereka.


Selain sokongan di dalam BERSATU, Hamzah juga dikatakan mempunyai sokongan daripada beberapa pemimpin PAS yang digelar ‘Geng Publika’.


“Tetapi dulu pun Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari BERSATU, parti tetap utuh dan mampu bergerak,” katanya.


Muhyiddin juga tidak boleh berundur daripada BERSATU kini kerana bimbang ketiadaannya akan membunuh harapan lagi parti.


Namun, harus diingat, sesuatu perlu dilakukan kepimpinan BERSATU bagi damage control kerana imej parti kini sudah dilihat buruk kerana tiada kesepakatan di antara presiden dan timbalan presiden.


Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, ketika dihubungi menekankan aspek keharmonian dan kesepakatan dalam parti bagi memastikan BERSATU bersedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).


Beliau berkata, semangat bersatu-padu itu penting kerana beliau tidak mahu wujudnya lagi keadaan seperti sebelum ini, iaitu adanya rundingan bersama parti lain dibuat tanpa mandat presiden.


“Macam sebelum ini Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ada menyebut bertemu dengan pemimpin BERSATU dan ia menimbulkan persoalan siapa yang dimaksudkannya.


“Berdasarkan perlembagaan BERSATU, rundingan presiden dengan presiden parti lain adalah sah dan dibenarkan, manakala rundingan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi atau Timbalan Presiden memerlukan mandat khusus kerana berpotensi melanggar disiplin parti.


“Atas sebab itu kita memerlukan semangat sebagai satu pasukan dalam BERSATU kerana tidak mahu wujudnya kem tertentu,” katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Afif Bahardin, berkata sebagai timbalan presiden parti yang menyatakan sokongan buat Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan, lima bulan lalu, Hamzah perlu membuktikan ikrarnya.


Beliau berkata, Hamzah perlu membuktikan sokongannya buat Muhyiddin ketika presiden itu kini menerima serangan secara bertubi-tubi dan bukannya mendiamkan diri.


“Saya tidak mahu bercakap soal hendak desak Datuk Seri Hamzah berundur, namun beliau sendiri menyatakan menyokong Tan Sri Muhyiddin sebelum ini. Seharusnya beliau menunjukkan dengan perbuatan.


“Sebagai contoh, BERSATU sudah memecat dua pemimpinnya sebelum ini. Sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah seharusnya menulis kepada Speaker Dewan Rakyat supaya memindahkan tempat duduk mereka dan bukan berada dalam blok PN lagi.


“Kita tahu dua pemimpin ini menyerang presiden, dan apa agaknya perasaan saya jika orang yang menyerang saya sudah dipecat tetapi masih duduk di blok PN di Dewan Rakyat tanpa diambil tindakan oleh ketua pembangkang,” katanya.


ANALISIS

Oleh Suzalina Halid


Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)