Mursyidul Am PAS Beri Gambaran Salah

Melaka Digest
By -
0

 


Kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am PAS kepada wartawan berhubung isu di Perlis telah mencetuskan gambaran seolah-olah PAS Pusat tidak mengambil sebarang tindakan selama tiga tahun sekali gus menimbulkan persepsi bahawa kegagalan menyelesaikan kemelut tersebut berpunca daripada kelemahan pusat. Naratif ini, walaupun mungkin tidak disengajakan, akhirnya memberi tafsiran yang mengelirukan kepada ahli dan penyokong di peringkat akar umbi.



Hakikat sebenar, Hashim perlu perjelas secara berimbang. Benar, laporan berkaitan isu Perlis telah dimaklumkan kepada PAS Pusat. 


Benar, jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk meneliti masalah tersebut. 



Benar, siasatan telah dijalankan dan cadangan penyelesaian juga telah dikemukakan. Namun, juga benar bahawa penyelesaian yang dicadangkan itu telah dilanggar dan ditolak oleh pihak tertentu.



Atas asas fakta ini, adalah tidak tepat untuk mengatakan PAS Pusat tidak berbuat apa-apa atau gagal menangani isu di Perlis. 



Masalah sebenar bukan terletak pada ketiadaan tindakan, tetapi pada kegagalan mematuhi keputusan jamaah. Apabila penyelesaian yang dipersetujui melalui proses parti ditolak mentah-mentah, maka jalan keluar yang dirangka tidak akan ke mana.



Isu pokok di sini ialah sikap “my way or no way” yang mengatasi kepentingan jamaah. 



Sikap mementingkan diri dan enggan berkompromi telah menyebabkan penyelesaian yang dicapai secara kolektif tidak dapat dilaksanakan. Dalam sebuah parti yang berteraskan prinsip syura dan disiplin, pendekatan sebegini hanya akan merosakkan struktur dan kewibawaan organisasi.



PAS dibina atas asas ketaatan kepada keputusan bersama dan adab berorganisasi. Membawa isu dalaman ke media sosial atau meluahkannya di hadapan wartawan bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya membuka ruang kepada salah faham dan fitnah. Nasihat yang wajar diambil ialah kembali kepada disiplin jamaah, mengawal diri dan menyelesaikan perbezaan pandangan melalui saluran dalaman yang telah ditetapkan.



Jika naratif yang tidak tepat ini terus dibiarkan, kesannya bukan sekadar kepada individu tertentu, tetapi akan melemahkan seluruh jamaah. Kekuatan PAS selama ini terletak pada kesatuan dan disiplin, bukan pada pertikaian terbuka yang akhirnya menguntungkan pihak luar.



Dr. Arman Ashaari (DrAA), 

penganalisis politik Perlis

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)