Azam Baki Disiasat

Melaka Digest
By -
0


Jawatankuasa Khas Siasatan secara rasminya telah memulakan siasatan berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.


Perkara itu disahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Moktar, yang juga bertindak sebagai ketua bagi jawatankuasa berkenaan. Menurut beliau, proses awal kini sedang giat dijalankan bagi meneliti segala fakta berkaitan kes tersebut.


“Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan bahawa jawatankuasa ini turut dibarisi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.


Penubuhan panel ini bertujuan untuk menjalankan siasatan yang telus dan terperinci demi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak yang terlibat. 


Segala hasil dapatan dan syor daripada siasatan ini akan dibentangkan terus kepada Perdana Menteri serta Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut.


Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas laporan media asing, Bloomberg, mendakwa Azam memiliki pegangan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan data pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Bagaimanapun, Azam dalam satu sidang media sebelum ini tampil menafikan sebarang salah laku. - MalaysiaPost

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)