Isu pemilikan saham oleh Azam Baki menjadi perdebatan panas, khususnya selepas pendedahan dan laporan media antarabangsa.
Namun, jika dinilai secara objektif dan berpandukan peraturan sedia ada, tuduhan bahawa beliau melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan awam adalah tidak berasas.
Azam Baki sendiri telah menjelaskan bahawa pemilikan saham tersebut telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pengisytiharan harta adalah satu kewajipan dan dari sudut pematuhan pekeliling, perkara itu telah dilaksanakan. Tiada peraturan yang melarang Ketua Pesuruhjaya SPRM atau mana-mana penjawat awam daripada memiliki saham secara mutlak.
Apa yang ditetapkan hanyalah syarat-syarat tertentu bagi mengelakkan konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa.
Semakan terhadap laporan Bursa Malaysia, struktur korporat, model perniagaan serta senarai penuh anak syarikat Velocity Capital Partners Berhad sehingga 30 Jun 2025 menunjukkan satu perkara yang jelas iaitu tiada bukti bahawa Velocity Capital atau mana-mana anak syarikatnya memperoleh atau menikmati kontrak kerajaan secara material. Satu-satunya projek yang direkodkan ialah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) bernilai RM144.5 juta yang dianugerahkan pada Februari 2017. Maklumat ini bukan rahsia, sebaliknya tersedia secara terbuka dalam laporan Bursa.
Dari sudut peraturan tatakelakuan dalaman, penjawat awam dibenarkan memiliki saham secara pasif dengan syarat pengisytiharan harta dibuat, tidak terlibat dalam pengurusan syarikat, serta tiada konflik kepentingan atau salah guna kuasa.
Larangan hanya terpakai sekiranya berlaku kegagalan mengisytiharkan pemilikan, penggunaan jawatan untuk melindungi kepentingan peribadi atau campur tangan dalam urusan rasmi seperti kelulusan, pelesenan dan penguatkuasaan. Setakat fakta yang diketahui umum, elemen-elemen ini tidak dibuktikan wujud dalam kes Azam Baki.
Namun, isu ini tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut “bersalah atau tidak bersalah”. Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, kedudukan Azam Baki membawa simbol dan beban integriti yang jauh lebih tinggi berbanding penjawat awam biasa. Walaupun pemilikan saham tersebut tidak melanggar peraturan ia tetap mengundang persoalan persepsi, lebih-lebih lagi apabila pelaburan melibatkan sebuah kumpulan yang mempunyai pelbagai anak syarikat merentas sektor.
Atas asas itu, pandangan bahawa kontrak beliau tidak wajar disambung selepas tamat tempoh adalah munasabah. Prestasi tangkapan mungkin kelihatan memberangsangkan, tetapi prestasi pendakwaan dan kekuatan pembuktian sering dipersoalkan. Dalam bahasa mudah, “tangkap ramai, lepas pun ramai”.
SPRM memerlukan nafas baharu, kepimpinan lebih segar, dan pembersihan menyeluruh di peringkat ibu pejabat serta negeri bagi memulihkan keyakinan rakyat.
Kenyataan Perdana Menteri yang menyarankan orang ramai membaca penjelasan Azam Baki dan mengakui beliau “buat kerja” menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak melihat isu ini sebagai kesalahan jelas dari segi peraturan. Namun, reformasi institusi tidak semestinya menunggu seseorang itu bersalah. Kadangkala, perubahan kepimpinan diperlukan demi masa depan institusi itu sendiri.
Kesimpulannya, Azam Baki tidak bersalah dari sudut peraturan dan undang-undang tetapi demi integriti SPRM dan keyakinan awam, sudah tiba masanya kepimpinan baharu diberi peluang untuk melakukan reformasi menyeluruh yang telah lama dituntut rakyat.
