Melaka: Kerjasama UMNO-PAS Masuk Akal?

Melaka Digest
By -
0


Cadangan agar Melaka dijadikan titik mula penyatuan UMNO dan PAS mungkin kedengaran idealis di atas pentas podcast. Namun apabila melihat dengan fakta dan sejarah, ia kelihatan lebih seperti cubaan menghidupkan semula ‘mayat hidup’ yang telah ditolak rakyat Melaka.


Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam podcast ‘Keluar Sekejap’, mencadangkan penyatuan dua parti Melayu terbesar ini dimulakan di Melaka kononnya atas nama penyatuan ummah dan kekuatan Melayu.


Cadangan Dr Akmal pantas mendapat reaksi balas dari penyokong dan ahli UMNO yang setia, “mengapa UMNO perlu berkongsi kuasa dengan parti yang gagal memenangi walau satu kerusi DUN?”


Dalam pilihan raya negeri Melaka, rakyat telah membuat keputusan dengan jelas dan tanpa kompromi, PAS kalah di semua kerusi DUN yang ditandingi. Bukan tewas tipis, tetapi ditolak secara total.


Ini bukan soal strategi yang kurang kemas tetapi kegagalan menyeluruh PAS membaca realiti Melaka di mana pengundi yang boleh dipujuk dengan retorik agama semata-mata.


Menjadikan PAS sebagai rakan kongsi di Melaka bukan penyatuan tetapi menafikan keputusan rakyat sendiri.


Mungkin Dr Akmal lupa atau memilih untuk lupa bagaimana Muafakat Nasional berakhir. Ketika UMNO mempertaruhkan maruah dan jentera, PAS memilih Bersatu sebagai pasangan politik yang “lebih menguntungkan”. Malah Dr Akmal lupa sejarah UMNO ditipu oleh PAS di beberapa negeri?


Jika PAS mahu dijadikan rakan sekutu, rekod prestasi mesti dipamerkan supaya rakyat Melaka tidak tertipu dengan slogan “penyatuan”.


Ahli Parlimen PAS di Melaka pun lesu dan kurang berfungsi kepada pengundi. Nampak lebih rajin berceramah dari turun padang.


ADUN Rembia yang menyertai PAS selepas meninggalkan UMNO menjadi bualan rakyat dengan kegagalan paling ketara.


Lebih 400 aduan rakyat kawasan sendiri dikatakan tidak diendahkan. Bagaimana ingin bersama orang yang tidak amanah?


Siapa yang tidak kenal ADUN Rembia di Melaka?


UMNO menang besar di Melaka tanpa PAS dan PAS pula gagal hidup tanpa bergantung kepada jenama parti lain.


Memang pahit tetapi perlu disebut bahawa PAS memerlukan UMNO untuk kekal relevan di Melaka, bukan sebaliknya.


Jika UMNO membuka pintu hari ini, ia bukan soal kekuatan tetapi kesilapan strategik yang berisiko menghakis sokongan pengundi setia.


Rakyat Melaka sudah membuat keputusan mereka. Mengabaikannya demi eksperimen politik hanya akan mengundang kemarahan dan protes senyap dan kemarahan ini biasanya dibayar mahal di peti undi.


Melaka bukan medan uji kaji. Melaka bukan talian hayat  politik PAS dan UMNO Melaka tidak memerlukan kerjasama yang lebih banyak merugikan daripada menguntungkan.


Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)