Desakan agar Parti PAS mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang semakin kuat kedengaran dalam kalangan ahli dan penyokongnya.
Harapan itu bukan sekadar impian kosong tetapi dilihat sebagai langkah strategik untuk mempamerkan kesediaan PAS memimpin blok pembangkang secara lebih tersusun dan berwibawa di Parlimen Malaysia.
Bagi penyokong tegar PAS, saat ini dianggap paling sesuai untuk menamatkan persepsi bahawa wakil rakyat parti itu sekadar pengikut dalam gabungan. Mereka berhujah, jika PAS benar-benar konsisten dengan naratif “kepimpinan melalui ulama” dan “ulama memimpin”, maka pentas Parlimen wajar menjadi medan pembuktian dan bukan sekadar retorik di pentas ceramah.
Kekosongan peranan itu semakin ketara selepas Hamzah Zainuddin disingkirkan daripada Bersatu, sekali gus mencetuskan perbincangan tentang calon baharu yang mampu berdiri setara namun ianya bukan sahaja sebagai Ketua Pembangkang tetapi sebagai poster boy pembangkang dan calon Perdana Menteri ke-11. Bagi PAS, ini peluang untuk memimpin naratif, menyusun strategi, dan mengangkat tokoh yang mampu berdepan kerajaan.
Menurut sumber dalaman, antara nama yang menjadi sebutan adalah Tuan Ibrahim Tuan Man. Latar belakang akademik yang kukuh serta autoriti dalam ilmu agama dilihat memenuhi kriteria kepimpinan yang diinginkan oleh arus utama PAS.
Pada masa sama, nama Ahmad Samsuri Mokhtar turut dipertimbangkan, namun beliau dikatakan belum memperoleh sokongan padu daripada kelompok ulama PAS yang lebih konservatif, memandangkan pendekatan pentadbirannya sering ditafsirkan sebagai ‘belum cukup Islamik’.
Sejarah PAS menunjukkan bahawa pertarungan dalaman antara kelompok ulama dan kelompok profesional bukanlah perkara baharu. Pertembungan idea dan pendekatan ini pernah memuncak sehingga membawa kepada perpecahan besar termasuk episod persaingan antara Abdul Hadi Awang dan Mohamad Sabu yang akhirnya menyaksikan penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH). Sejarah ini menjadi peringatan bahawa pemilihan tokoh perlu dibuat dengan penuh berhati-hati agar tidak mengulangi sejarah lama.
Atas sebab itu, PAS kini berada di persimpangan penting. Memilih calon Ketua Pembangkang bukan semata-mata soal populariti atau kesetiaan dalaman tetapi keupayaan untuk memimpin wacana nasional, mengemukakan dasar alternatif dan membina keyakinan rakyat merentas garis sokongan tradisional. Jika PAS benar-benar ingin menampilkan calon Perdana Menteri ke-11 yang berwibawa, langkah pertama ialah membuktikan kemampuan memimpin pembangkang di Parlimen dengan tegas, konsisten dan inklusif.
Jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar kerusi tetapi mandat kepimpinan. Jika PAS mahu menuntut peranan itu, parti perlu berani membuat pilihan yang tepat dengan tokoh yang mampu menyatukan parti, mengimbangi idealisme dan realiti serta berdiri setara di pentas nasional. Inilah ujian sebenar sama ada PAS bersedia memimpin atau sekadar terus menunggu peluang tanpa mengambil tanggungjawab.
