Ketika Hamzah Zainuddin muncul dalam program ‘Reset Politik’ semalam beliau bukan sahaja membuat pengakuan bahawa beliau adalah musuh nombor satu Muhyiddin tetapi memberi bayangan beliau mungkin kembali menywrtai UMNO selain mengatakan kemungkinan juga akan sertai PAS atau mengambil alih parti Berjasa.
Dalam kalangan penganalisis, langkah Hamzah dianggap sudah ditentukan lebih awal. Pada hari pemecatannya, beliau bersama beberapa rakan rapat dilaporkan bertemu kepimpinan tertinggi PAS di Rusila, Terengganu termasuk presidennya, Hadi Awang. Pertemuan itu bukan bersifat simbolik semata-mata; ia dikatakan sesi meminta pandangan strategik dan hala tuju politiknya sendiri.
Turut bersama ialah sahabat karib Hamzah, Takiyuddin Hassan yang sering disebut sebagai antara arkitek utama Perikatan Nasional. Kehadiran Takiyuddin menguatkan persepsi bahawa jambatan ke PAS telah dibina rapi.
Sumber politik memaklumkan bahawa Hamzah dikatakan meletakkan syarat berat sekiranya UMNO mahu menerima beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen yang dipecat.
Syaratnya jelas ialah UMNO perlu memberi laluan atau mengekalkan kerusi sedia ada mereka menjelang PRU16. Dalam realiti politik semasa, syarat ini dilihat sukar dipenuhi bahkan berpotensi mencetuskan konflik dalaman UMNO sendiri dan menurut penganalisis lagi, ianya seperti sengaja dibuat oleh Hamzah agar UMNO berkecamuk.
Lebih penting, menyertai UMNO bererti Hamzah terpaksa berhadapan dengan PAS sebagai lawan, suatu langkah yang dianggap mustahil memandangkan jaringan strategik dan keserasian ideologi yang telah terbina terutamanya dengan Takiyuddin berada di sisi PAS yang sememangnya merupakan ‘rakan kongsi politik’ Hamzah.
Daripada keseluruhan gambaran, dua pilihan tampak paling munasabah, menyertai PAS secara langsung atau mengambil alih BERJASA sebagai kenderaan politik alternatif dan membawanya berada di bawah PAS seperti Amanah di bawa kepada DAP.
Lagi pun Hamzah hanya boleh memenuhi cita-citanya menjadi PM ke 11 dengan menggunakan PAS.
