Gambar-gambar yang dimuat naik oleh PAS Melaka menerusi akaun Facebook rasmi mereka baru-baru ini mengundang lebih banyak rasa simpati berbanding sokongan. Bukan kerana kejayaan besar atau agenda rakyat tetapi kerana wajah-wajah warga emas yang kelihatan keletihan, seolah-olah sedang dipergunakan atas nama “perjuangan”.
Netizen mula bersuara. Ramai meluahkan rasa tidak sampai hati melihat golongan berusia seolah diperah tenaganya demi mengutip dana pilihan raya. Lebih menyedihkan, kutipan yang diumumkan hanyalah sekitar RM2,000 untuk tempoh dua bulan satu angka yang dianggap memalukan jika dibandingkan dengan realiti kewangan wakil rakyat PAS sendiri di Melaka.
Untuk rekod, PAS mempunyai tiga wakil rakyat di Melaka, seorang ADUN dan dua Ahli Parlimen. Dengan gaji dan elaun bulanan ribuan ringgit, timbul persoalan ke mana hilangnya rasa tanggungjawab moral? Mengapa dana parti masih perlu digalas oleh warga emas, sedangkan wakil rakyat mereka hidup selesa dengan imbuhan negara?
“Usia sebegini sepatutnya lebih banyak di sejadah bukan di jalanan meminta derma untuk parti yang belum tentu membawa kebajikan di akhirat,” luah seorang netizen sinis. Kata-kata itu mungkin pedas tetapi sukar untuk disangkal apabila realitinya terpampang jelas di hadapan mata.
Lebih menyedihkan, ketika ahli-ahli parti berpeluh mencari dana, wakil rakyat mereka terus lena dibuai elaun dan kemudahan. Ahli diminta berkorban, pemimpin sekadar berlakon simpati. Inikah model perjuangan yang dilaungkan selama ini?
Jika benar PAS mendakwa parti mereka parti kebajikan dan berteraskan Islam, mengapa beban sentiasa jatuh ke bahu yang paling lemah, sedangkan yang paling mampu memilih untuk berdiam diri?
“Jangan ‘jual’ syurga dengan amalan yang tidak pasti” katanya lagi.

