Kemelut politik PAS Perlis kini memasuki fasa yang lebih mengelirukan apabila naratif yang dibawa Pesuruhjaya PAS Perlis kelihatan tidak sepenuhnya seiring dengan pendirian sebenar Majlis Syura Ulama, badan tertinggi parti yang dipengerusikan Mursyidul Am, Hashim Jasin.
Pesuruhjaya PAS Perlis tampil seolah-olah keputusan sudah muktamad pengguguran tiga ADUN kekal walaupun permohonan menyertai semula PAS dikemukakan. Namun di sisi lain sebelumnya, Majlis Syura Ulama membuat kenyataan di facebook milik Hashim Jasin sendiri seolah menerima rayuan? BACA di SINI. (Tapi status tersebut telah diubah?)
Kenyataan Pesuruhjaya PAS Perlis bahawa status tiga bekas ADUN tersebut “kekal gugur” walaupun keahlian mereka mungkin diterima semula menimbulkan persoalan besar adakah keputusan itu benar-benar datang daripada Majlis Syura atau sekadar tafsiran politik di peringkat negeri?
Lebih menarik, Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Yahaya, secara terbuka menjelaskan bahawa Majlis Syura tidak membuat keputusan rayuan, malah menolak untuk bertindak di luar bidang kuasanya. Ini secara tidak langsung mendedahkan bahawa belum wujud kata putus rasmi daripada badan tertinggi parti.
Di sinilah timbul ironi yang sukar disangkal. Ketika Majlis Syura memilih jalan berhati-hati, berdisiplin dengan perlembagaan dan struktur parti, Pesuruhjaya PAS Perlis sudah mendahului dengan naratif “keputusan kekal”, seolah-olah Syura hanya pelengkap kepada keputusan yang telah ditetapkan lebih awal. Keadaan ini mencetuskan tanda tanya sama ada Majlis Syura masih menjadi rujukan tertinggi, atau sekadar dijadikan sandaran apabila sesuai dengan naratif tertentu.
Lebih mengelirukan, dalam masa yang sama Pesuruhjaya PAS Perlis menyatakan keyakinan bahawa permohonan tiga bekas ADUN itu akan “disambut baik” oleh PAS Pusat. Jika yakin diterima, mengapa awal-awal lagi diumumkan bahawa status mereka sebagai ADUN PAS tidak akan berubah walau apa pun keputusan kelak?
