Ketika parti-parti besar dalam Perikatan Nasional (PN) masih bergelut mencari kestabilan dan hala tuju pasca PRU, satu perkembangan menarik dan ironik berlaku di belakang tabir. Parti-parti komponen yang gagal memenangi walau satu kerusi kini tampil paling ke hadapan membincangkan soal struktur kuasa dan kepimpinan tertinggi PN.
Mesyuarat “pra-majlis” yang berlangsung di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Januari lalu menyaksikan persetujuan awal antara Bersatu, Gerakan dan MIPP untuk memperkasa Majlis Presiden serta membentuk Majlis Eksekutif PN, satu langkah yang secara langsung membuka ruang kepada pemansuhan jawatan Pengerusi PN. Persoalannya, siapa yang benar-benar diberi mandat oleh ahli untuk menentukan arah gabungan besar ini?
Gerakan dan MIPP, dua parti yang tidak menyumbang sebarang kerusi Parlimen dalam PRU lalu dilaporkan bukan sahaja menyokong cadangan tersebut malah bersetuju setiap parti komponen menyediakan draf pindaan Perlembagaan PN. Draf ini kemudiannya akan diselaraskan sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Dalam bahasa mudah, parti tanpa kerusi kini sibuk menyusun semula hierarki kuasa gabungan yang ditunjangi parti-parti besar.
Lebih menarik, perbincangan penting ini berlaku tanpa kehadiran PAS, parti yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN. Walaupun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyampaikan pandangan melalui surat, ketiadaan fizikal PAS dalam pertemuan tersebut menimbulkan tanda tanya adakah keputusan besar PN kini dirangka oleh mereka yang lemah sokongan rakyat, sementara parti dominan hanya dimaklumkan kemudian?
Naratif “memperkukuh PN” digunakan sebagai justifikasi. Namun hakikatnya, cadangan pemerkasaan Majlis Presiden dan penubuhan Majlis Eksekutif dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha mengehadkan kuasa Pengerusi PN bukannya memperkasakan gabungan secara tulen. Apabila jawatan Pengerusi dianggap “tidak relevan”, persoalannya relevan kepada siapa dan menguntungkan siapa?
Ketua Penerangan Bersatu sendiri mengakui bahawa semua persetujuan ini masih bersifat cadangan awal dan belum dimuktamadkan. Namun beliau turut mengesahkan implikasi logik penstrukturan tersebut dengan kedudukan Pengerusi PN akan menjadi tidak relevan. Ini bukan lagi soal teknikal perlembagaan tetapi soal perebutan kuasa dan pengaruh dalam gabungan.
