Dalam landskap politik yang sering sarat dengan janji dan slogan, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tampil dengan tindakan yang jarang-jarang dilihat iaitu memotong gaji sendiri dan menolak elaun RM10,000 sebagai Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI). Bukan cakap kosong tetapi keputusan yang menyentuh poket sendiri.
Abu Bakar mengumumkan beliau tidak akan menerima elaun perjalanan dan perkhidmatan berjumlah RM10,000 sebulan kerana memahami realiti semasa kewangan kerajaan negeri yang sedang berdepan kekangan. Katanya, ekonomi negeri kini berada dalam keadaan “cukup makan” dan tidak selesa untuk terus berbelanja seperti biasa. Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan rapi dan dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Lebih signifikan, ini bukan langkah pertama. Sebelum itu, Abu Bakar telah mengumumkan pemotongan gaji Menteri Besar sebanyak RM3,000 sebulan, manakala barisan Exco kerajaan negeri turut memotong gaji masing-masing sebanyak RM1,500 sebulan. Langkah ini jelas mencerminkan pendekatan kepimpinan yang memilih untuk memikul beban bersama rakyat, bukan sekadar menyuruh rakyat berkorban.
Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan hasil negeri terhad, tindakan ini membawa mesej jelas, kepimpinan bermula dengan teladan. Ia juga satu isyarat bahawa jawatan bukan lesen untuk menikmati keistimewaan sebaliknya amanah yang perlu dibayar dengan tanggungjawab.
Abu Bakar menegaskan fokus beliau adalah memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat serta berusaha memperbaiki dan merancakkan semula ekonomi negeri. Sama ada langkah ini akan memberi kesan jangka panjang kepada kewangan Perlis, masa yang akan menilai. Namun dari sudut moral politik, mesejnya sudah sampai.
Perlis kini melakar satu sejarah kecil tetapi bermakna apabila pemimpin memilih untuk berkorban terlebih dahulu sebelum meminta rakyat memahami keadaan.
Sepatutnya penyokong PAS melihat ini dari sudut positif.
