Tiga ADUN Perlis Diterima Kembali - Mursyidul Am PAS

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Mursyidul Am PAS

Majlis Syura ‘Ulamak telah mengadakan mesyuarat kali ke-2 bagi sesi 2026/2030 pada 27 Januari 2026 bersamaan 8 Sya'ban 1447H di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan rayuan Saad Seman (yang juga ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) yang dihentikan keahlian PAS pada 24 Disember 2025.

Adalah dimaklumkan, mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak tersebut menerima rayuan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli PAS Perlis tersebut.

Pada akhir perbincangan mesyuarat, Mursyidul Am telah membacakan faktor penerimaan kembali menjadi ahli PAS seperti berikut:

1. Prinsip al-Quran, antaranya Firman Allah SWT:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara saudaramu.” (Surah al-Hujurat: 10)

Perintah al-Quran ialah ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang. Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah.

2. Manhaj Nabi ﷺ dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadith al-Ghamidiyyah dan Juhainah.

3. Kaedah Fiqh menyebutkan (الضَّرَرُ يُزَالُ) “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”. Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam (ضرر عام) yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti.

4. Siasah syar‘iyyah matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah. Rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti.

5. PAS adalah jamaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura ‘Ulamak dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar PAS dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran PAS.

6. Majlis Syura ‘Ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli PAS yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan, ulamak tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala.

Sekian.

Mursyidul Am
Majlis Syura 'Ulamak PAS
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)