Hubungan PAS- BERSATU: Wan Saiful Dakwa Muhyiddin Punca Kerosakan

Melaka Digest
By -
0

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara terus terang menuding jari kepada Muhyiddin Yassin sebagai punca utama kerosakan ukhuwah dalam Perikatan Nasional (PN). Dakwa beliau, krisis yang berlaku hari ini bukan lahir daripada kehendak akar umbi kedua-dua parti sebaliknya didorong oleh tindakan Muhyiddin yang “dipengaruhi” kelompok kecil yang bergantung sepenuhnya kepada kelangsungan politik beliau.


Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, usaha mensabotaj hubungan PAS–BERSATU dan memecah kesatuan PN tidak mencerminkan suara majoriti besar dalam gabungan. Sebaliknya kata Wan Saiful, akar umbi mahu hubungan kedua-dua parti teras pembangkang itu kekal utuh dan diperkukuhkan, bukan digoncang dengan manuver elit yang sarat kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan kerasnya, Wan Saiful mendakwa hanya Muhyiddin dan “kelompok kecil penjilat” di sekelilingnya yang merosakkan hubungan PAS–BERSATU. Katanya, tekanan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden BERSATU kini semakin lantang dalam parti sendiri, membayangkan kehendak jelas akar umbi yang mahu kerjasama dengan PAS dipelihara bukannya dikorbankan demi mempertahankan satu nama.

Lebih pedas, Wan Saiful mendakwa Muhyiddin sudah kehilangan sokongan sebenar dalam BERSATU. Mereka yang tampil mempertahankannya, kata beliau, hanyalah pegawai yang pernah dibayar gaji atau individu yang dilantik ke jawatan parti bukan pemimpin yang dipilih ahli. Malah beliau mendakwa ramai ketua bahagian BERSATU di Sabah, Perak dan Johor termasuk negeri kelahiran Muhyiddin sendiri telah menyatakan penolakan terhadap kepimpinannya.

Dalam konteks PN pula, Wan Saiful melihat penyelesaian krisis kepimpinan sebenarnya mudah. Menurut beliau, majoriti dalam PN bersetuju bahawa PAS layak menerajui gabungan itu. Jika benar mahu memudahkan keadaan, Muhyiddin hanya perlu menerima calon yang dicadangkan PAS sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Namun, dakwanya, Muhyiddin sengaja menyukarkan proses tersebut dengan meletakkan syarat bahawa pengerusi mesti dalam kalangan presiden parti. Apabila Presiden PAS tidak mahu, Muhyiddin dilihat cuba mencipta kebuntuan sehingga sanggup membuka ruang kepada calon luar seperti Presiden MIPP, sedangkan PN mempunyai tokoh lain yang lebih munasabah.

Wan Saiful turut menyentuh isu Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainudin. Katanya, jika BERSATU benar-benar mahu mengekalkan jawatan Pengerusi PN maka rakan-rakan dalam PN boleh mempertimbangkan Hamzah. Namun, beliau mendakwa kem Muhyiddin tidak mahu menamakan Hamzah malah dilihat berusaha “membunuh” masa depan politik tokoh itu.

“Tidak ada manusia yang tidak boleh diganti,” tegas Wan Saiful, sambil menolak hujah bahawa tiada siapa lebih baik daripada Muhyiddin. Walaupun mengakui jasa besar bekas Perdana Menteri itu sebelum ini, Wan Saiful menegaskan kritikannya tertumpu kepada krisis kepimpinan semasa yang kian meretakkan gabungan pembangkang.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)