Kerana Inikah Sanusi 'Berdendam' Dengan Mursyidul Am?

Melaka Digest
By -
0

Dalam politik, teguran bukan perkara asing. Namun tidak semua pemimpin mampu menelannya dengan tenang lebih-lebih lagi apabila teguran itu datang daripada Mursyidul Am PAS sendiri.


Pada tahun 2023, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menegur Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor agar menjaga percakapan ketika berada di pentas politik khususnya daripada menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja (3R).

Teguran itu bukan dibuat tanpa sebab. Ia susulan ucapan Sanusi dalam satu ceramah Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menghina Sultan Selangor apabila beliau membandingkan pelantikannya sebagai Menteri Besar Kedah dengan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam nada tenang tetapi tegas, Hashim Jasin mengingatkan bahawa mana-mana pemimpin, termasuk Sanusi perlu lebih bertenang, sambil mengakui gaya politik Menteri Besar Kedah itu sebagai “agak keras”.

“Sanusi, tak kiralah pemimpin mana pun, perlu lebih bertenang,” kata Hashim.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam suasana pilihan raya, pemimpin sering berada dalam ‘mood’ yang menyebabkan kawalan kata-kata menjadi longgar. Namun, itu bukan alasan untuk melangkaui batas sensitiviti.

Apa yang berlaku selepas itu bukan perkara kecil. Kenyataan Sanusi mencetuskan 31 laporan polis dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Beliau dirakam keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah selain disiasat mengikut Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, semuanya berkait langsung dengan isu 3R.

Hashim Jasin ketika itu memilih pendekatan mendamaikan. Beliau menyeru semua pihak supaya berlapang dada dan saling memaafkan, agar isu tersebut tidak berlarutan sehingga ke mahkamah.

Persoalan, adakah teguran itu benar-benar diterima sebagai nasihat, atau disimpan sebagai luka ego?

Sejak insiden tersebut, gaya politik Sanusi dilihat semakin berani, semakin kasar dan semakin mencabar struktur disiplin parti. Kenyataan-kenyataan beliau, termasuk dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan rasuah hanya mengukuhkan persepsi bahawa teguran Mursyidul Am tidak lagi dipedulikan.

Adakah manifestasi dendam politik yang tidak pernah dipadam ini terbawa ke pentas ceramah di Perlis (menurut sumber) sehinggakan Sanusi menyerang Mursyidul Am dan anaknya? Lihat video di sini.
 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)