![]() |
Perpecahan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia terus berlarutan apabila dua lagi bahagiannya di Melaka, Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Menurut maklumat yang diterima, keputusan itu melibatkan pembubaran keseluruhan struktur di peringkat bahagian termasuk sayap-sayap utama.
Bagi Bahagian Hang Tuah Jaya, pembubaran merangkumi kepimpinan bahagian, Armada, Srikandi dan Srikandi Muda.
Sementara itu, Bahagian Tangga Batu pula mengumumkan pembubaran bahagian serta sayap Armada.
Hasrul Hassan yang mewakili Jawatankuasa Bahagian berkata, keputusan ini dicapai sebulat suara dan beliau turut mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin.
Perkembangan terbaharu ini menambah senarai bahagian Bersatu yang mengambil langkah serupa dalam tempoh singkat, sekali gus mencetus persoalan mengenai kestabilan struktur parti di peringkat akar umbi khususnya di Melaka.
