Era pengaruh Mas Ermieyati Samsudin telah sampai ke penghujungnya. Dakwaan bahawa beliau membawa keluar 10 cawangan, lebih separuh AJK bahagian serta beberapa ketua sayap nyata tidak selari dengan fakta di lapangan. Hakikatnya, hanya tujuh cawangan sahaja yang bertindak meninggalkan parti satu angka yang jauh lebih kecil daripada gambaran “gelombang besar” yang cuba dibina oleh beliau. BACA di SINI dan SINI.
Kekosongan kepimpinan yang ditinggalkan tidak mengambil masa lama untuk diisi. Nazri Ramli, selaku Timbalan Ketua Bahagian Masjid Tanah, segera mengambil alih tugas Ketua Bahagian dan memastikan jentera parti terus bergerak. Tindakan pantas ini menghantar mesej jelas bahawa struktur BERSATU di Masjid Tanah kekal utuh dan tidak lumpuh seperti yang cuba digambarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rahim Tamby Chik juga dijangka mengumumkan perletakan jawatan, sekali gus membuka ruang kepada wajah baharu untuk mengetuai BPN Bersatu Melaka. Rahim, yang sebelum ini dikaitkan sebagai penyokong Mas Ermieyati, juga dilihat lebih cenderung menyokong kem Hamzah Zainudin.
Pada masa sama, pendirian PAS, selaku Pengerusi Perikatan Nasional, juga semakin nyata. PAS dilihat lebih mengutamakan kelangsungan parti komponen, khususnya Bersatu berbanding menyokong kumpulan individu yang dipecat atau bergerak di luar kerangka parti. Pendekatan ini menegaskan prinsip PN sebagai gabungan parti politik, bukannya pakatan longgar berasaskan orang perseorangan.
Menurut pemerhati politik, landskap baharu ini meletakkan Mas Ermieyati pada persimpangan getir. Jika beliau memilih untuk terus mempertahankan kerusi Masjid Tanah, cabaran yang menanti bukan kecil, beliau berdepan calon baharu sama ada dari Bersatu atau PAS Masjid Tanah. Dengan sokongan akar umbi yang semakin mengecil dan struktur parti yang terus tersusun tanpa beliau, pertarungan akan datang dijangka jauh lebih sukar.
